Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri menegur segelintir pengguna media sosial yang menjadikan ibadah umrah sebagai konten.
Hukum mencium Hajar Aswad
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook (FB), Dr. Zulkifli menjelaskan tentang ibadah umrah dan perbezaan antara hukum tawaf dengan hukum mencium Hajar Aswad.
Umrah adalah ibadah, bukan pelancongan ‘kerohanian’
Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium hajar aswad juga adalah ibadah. Beza keduanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium Hajar Aswad adalah sunat. Bahkan di sisi ulama Syafi’iyyah, hukum asal bagi wanita adalah tidak disunatkan bagi mereka mencium hajar aswad kecuali keadaan di mataf agak lengang.
Menurut beliau, hukum mencium Hajar Aswad adalah haram apabila ianya memberi mudarat kepada diri sendiri dan orang lain.
Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, hukum mencium Hajar Aswad adalah haram. Cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari.
Dalam masa yang sama, Dr. Zulkifli menyelar tindakan segelintir individu yang memuat naik konten di Tanah Haram semata-mata untuk meraih perhatian.
Selain itu, beliau turut menitipkan nasihat supaya umat Islam lebih fokus beribadah ketika berada di Makkah.
Agak janggal bila ibadah yang suci dan mulia itu dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar, bukan pada masanya. Saya juga lihat perkembangan mutakhir ini, ramai memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau Hajar Aswad di media sosial.
Jika ia hanya sekadar trend untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah trend yang merugikan itu.
Sewajarnya di hadapan Baitullah, kita fikirkan dosa kita, keampunan daripada Allah, termasuk doa-doa kepada-Nya. Dengan itu sahaja pun kita sudah cukup sibuk tanpa sempat memikirkan peluang untuk mencipta content!