Penyanyi, Black Hanifah mengakui dirinya masih lagi dihantui dengan kontroversi yang mengatakan dirinya terlibat dengan kes penggubahan wang haram.
Nafi terlibat
Menerusi temu bual bersama Melodi, Black atau nama sebenarnya Hanifah Muhammad Hanafiah berkata isu ‘money laundering’ yang mengaitkan namanya itu sama sekali tidak benar dan fitnah semata-mata.
Ini kerana, kejayaan yang dikecapinya hari ini datang dari hasil titik peluhnya sendiri.
Isu mengenai cuci duit itu sangatlah tidak benar sebab seperti yang anda boleh lihat saya menyanyi, berlakon dan berniaga semata-mata untuk keluarga saya.
Tambah Black, dia juga mengambil maklum bahawa pengikutnya di media sosial mula berkurangan selepas timbulnya dakwaan tersebut namun, menitipkan ucapan terima kasih buat para peminat yang masih setia bersamanya.
Saya akui peminat merupakan antara faktor saya masih berada di dalam industri tetapi boleh dikatakan peminat yang hilang serta memilih untuk ‘unfollow’ saya di media sosial itu adalah peminat yang tidak setia dan tidak faham betul-betul siapa sebenarnya ‘Black’.
Kepada peminat yang masih setia, saya nak ucapkan terima kasih kerana percaya dengan bakat saya dan percaya dengan apa yang saya lakukan.
Saya tak takut kehilangan segelintir peminat sebab saya memang tak buat salah.
Kalau saya buat salah, daripada dulu lagi saya dah risau dah. Tapi kalau nak check, anytime (pun boleh), saya berani.
Dalam pada itu, pelantun lagu ‘Aku Rindu Sayang Kamu’ tersebut meluahkan rasa syukur apabila masih menerima jemputan untuk buat persembahan di ‘event’ dan karnival meskipun masih dikaitkan dengan isu panas tersebut.
Meskipun saya terpalit dengan dakwaan itu Alhamdulillah rezeki saya tidak putus-putus dan masih mendapat ‘offer’ untuk buat persembahan.
Saya berasa sangat bersyukur kerana masih diberikan nafas dan sehingga ke hari ini Alhamdulillah, saya sudah ‘lock’ untuk buat ‘show’ di beberapa ‘event’ sehingga ke pertengahan tahun akan datang.
Boleh dikatakan hampir setiap bulan, jadual saya padat dengan ‘show’ untuk karnival dan ‘private event’.
Bukan itu sahaja, saya juga sibuk menguruskan villa kepunyaan saya yang terletak di Langkawi.
Terdahulu, tular satu video yang mendakwa Black memiliki sebuah kapal mewah di Pulau Langkawi.
Video tersebut telah menyebabkan timbulnya dakwaan mengatakan Black terlibat dengan sindiket pengubahan wang haram kerana mereka mempersoalkan kemampuan penyanyi berusia 36 tahun tersebut untuk memiliki kapal mewah berkenaan.