‘Welcome to Afganu’ – PAS Terengganu cabar pemimpin Islam DAP lapor polis

Shopee Sale

Seorang pemimpin akar umbi PAS hari ini mencabar pemimpin DAP, khususnya yang beragama Islam untuk turut sama membuat laporan polis berhubung hantaran di media sosial memaparkan seorang wanita yang mengenakan burqa berwarna hitam sedang melakukan aksi terjun papan anjal.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Berhanuddin berkata hantaran oleh pengguna media sosial yang menggunakan nama ‘Ryan Azzaro’ bukan hanya melibatkan isu parti Islam itu semata-mata.

Sebaliknya, katanya, ia adalah isu besar kerana juga menyentuh sensitiviti berkaitan 3R iaitu bangsa, agama dan Raja-raja Melayu.

“DAP mempunyai ahli di kalangan orang Islam dan wakil rakyat DAP pun ada di kalangan orang Islam, jadi saya rasa kalau DAP nak buat laporan polis sekali pun kita sangat alu-alukan kerana ini bukan lagi isu parti politik tetapi ini isu kebersamaan kepada agama dan menyentuh isu 3R yang telah diperjuangkan bersama kerajaan perpaduan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, di Kuala Terengganu, hari ini.

Terdahulu, Pemuda PAS Terengganu hari ini membuat laporan polis berhubung hantaran di Facebook itu yang disifatkan menghina Islam.

Ia turut diiringi kata-kata “Welcome to Afganu”.

Hantaran itu dipercayai merujuk kontroversi penyertaan dua penerjun wanita yang mewakili Terengganu pada Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak yang baru sahaja berakhir.

Mengulas lanjut, Muhammad Irsyad Syafiq berkata pihaknya juga menuntut campur tangan Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

MENARIK:  'HeiTech Padu menang tender terbuka, keputusan dibuat tahun lalu'

Katanya, pihak berkuasa harus menggunakan Akta Hasutan 1948, Seksyen 4 (1)(c) serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi mendakwa pihak yang bertanggungjawab.

“Bayangkan jika mak kita dilambangkan gambar seperti ini saya rasa ianya satu perkara yang sangat kurang ajar.

“Kita tak boleh bertolak ansur dengan perkara mengarut sebegini lagi,” katanya.

Ketika kejohanan Sukma yang lalu, penyertaan dua atlet wanita itu mengundang perhatian di sebalik larangan kerajaan negeri sebelum ini susulan pemakaian tidak mematuhi syariah.

Di sebalik kontroversi berkenaan, dua atlet itu, Uzlifatil Jannah Ashraf dan Ilyssa Ixora Imran berjaya meraih pingat gangsa bagi kategori 10 meter platform seirama wanita. Uzlifatil Jannah juga menang pingat gangsa bagi kategori 1 meter papan anjal.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular