Video Adun bincang rasuah: Pemberi maklumat sedia tampil tapi takut akibat

Shopee Sale

Pemberi maklumat, yang memiliki bukti video yang didakwa memaparkan beberapa Adun membincangkan penerimaan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit, mengaku dia bimbang mengenai keselamatannya kerana skandal itu melibatkan individu berjawatan tinggi.

“Ini melibatkan pemimpin tertinggi sesebuah negeri. Mereka ini adalah orang yang berpengaruh. Akan ada kesan politik dan peribadi yang teruk,” katanya kepada Malaysiakini.

"Inilah sebabnya saya memohon perlindungan penuh walaupun sebelum membuat laporan kepada SPRM," katanya.

Menurut pemberi maklumat itu, SPRM, yang dimaklumkan mengenai video itu bulan lalu, tidak dimaklumkan ahli politik itu dari negeri mana.

“Klip audio yang dimainkan oleh peguam saya untuk pegawai (SPRM) tidak mengandungi butiran ini juga. Saya takut. Apabila ia melibatkan ahli politik, dinding pun ada telinga,” tambahnya.

Pemberi maklumat itu berkata dia sanggup menyerahkan semua bukti kepada SPRM malah memberi keterangan di mahkamah jika dia diberi perlindungan.

Dia juga merujuk kepada kenyataan bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim bahawa mereka yang memilih untuk mendedahkan salah laku perlu berhadapan dengan "ketidakpastian" berkaitan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

"Ini adalah kebimbangan yang sama yang diluahkan oleh peguam saya kepada SPRM semasa mesyuarat mereka seperti yang disebut oleh Ketua Pesuruhjaya (SPRM) Azam Baki," katanya.

Pemberi maklumat minta campur tangan PM

Pemberi maklumat itu merayu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang berikrar tidak akan berkompromi dengan rasuah, untuk campur tangan dalam perkara itu.

“Saya yakin perdana menteri mahu kes ini disiasat. Jadi saya mohon bantuannya,” tambahnya.

Ketika dihubungi, peguam pemberi maklumat Izwan Azmi mengesahkan anak guamnya bersedia untuk tampil mendedahkan butiran skandal itu dan menjadi saksi jika diperlukan.

“Bagaimanapun, anak guam saya mempunyai pertimbangan tertentu,” katanya kepada Malaysiakini.

Izwani berkata dia akan hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya sekali lagi untuk mengulangi kebimbangan anak guamnya bagi mendapatkan perlindungan untuknya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa ia melihat lapan video, setiap satu memaparkan Adun berbeza, yang didakwa menerima ratusan ribu ringgit untuk menyokong permohonan sebuah syarikat untuk projek di negeri mereka.

MENARIK:  Azmin akui peralihan sokongan polis, tentera beri kesan pada PN

Perbincangan dalam video itu melibatkan ahli perniagaan, yang wajahnya tidak kelihatan, meminta ahli politik, termasuk mereka yang memegang jawatan kanan, memulangkan wang itu kerana lesen untuk projek itu telah dibatalkan.

Ahli perniagaan itu juga memberi mereka pilihan untuk memulangkan jumlah masing-masing secara ansuran.

Malaysiakini juga mengetahui bahawa terdapat beberapa lagi video yang melibatkan Adun lain juga.

Azam kemudiannya mengesahkan bahawa pertemuan antara pegawainya dan peguam pemberi maklumat telah berlangsung pada 30 Okt.

Ketua pesuruhjaya menggesa pemberi maklumat itu membuat laporan bagi membolehkan proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

Dia juga mendedahkan bahawa peguam pemberi maklumat itu mahu pegawainya menandatangani perjanjian memastikan imuniti untuk anak guamnya terhadap kesan undang-undang tetapi ini telah ditolak.

Azam berkata, undang-undang menyatakan bahawa apabila seseorang individu memberikan maklumat kepada pihak berkuasa, dia dilindungi tetapi ia juga menyebut bahawa jika individu itu didapati terlibat dalam kesalahan itu, perlindungan itu boleh dibatalkan.

Laporan Malaysiakini mengenai video itu juga nampaknya menimbulkan kebimbangan di kalangan kerajaan dan pembangkang dengan ahli politik dan pembantu mereka menghubungi portal berita untuk bertanyakan negeri yang terlibat.

Malaysiakini tidak mendedahkan identiti ahli politik dalam video atas permintaan pemberi maklumat.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular