ULASAN | Prabowo menjenama diri di dunia Tik Tok

Shopee Sale

Saya berada di Jakarta ketika catatan ini dibuat. Melihat pasca pengundian presiden Indonesia. Rupanya jangkaan kita meleset. Kita salah seandainya menyangka kejayaan besar Prabowo Subianto dalam usahanya kali ini untuk merebut jawatan presiden Indonesia dari pesaingnya Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo adalah semata-mata hasil dari aksinya dalam debat.

Prabowo bersama pasangan calon naib presidennya Gibran Rakabuming setakat ini sedang mendahului pengiraan undi dengan jumlah lebih 57 peratus berbanding Anies Baswedan dan pasangannya Muhaimin Iskandar serta seorang lagi calon Ganjar Pranowo dengan pasangannya Mahfud MD.

Lebih 200 juta pengundi tempatan serta sekitar 1.75 juta pengundi yang dari luar Indonesia telah membuang undi untuk memilih presiden, timbalan presiden serta lebih 20,000 wakil yang akan menduduki kerusi-kerusi dewan di peringkat kebangsaan, daerah dan kota.

Pemilu 2024 kali ini bukanlah pilihanraya umum pertama yang menyaksikan mantan menantu kepada bekas presiden kedua Indonesia itu memulakan usahanya untuk menjadi presiden Indonesia.

Usaha Prabowo telah bermula semenjak dari pemilu 2014 lagi yang kemudiannya berlanjutan ke pemilu 2019 dan pemilu 2024 kali ini. Namun kedua-dua cubaan Prabowo dalam dua pilihan raya tersebut telah menyaksikan beliau tewas kepada presiden Jokowi yang bakal akan menyempurnakan dua penggal pentadbirannya tidak lama lagi.

Pemilihan Umum 2024 barangkali adalah pilihan raya paling menarik untuk diperhatikan selepas peristiwa Reformasi 1998 yang memperlihatkan suatu perubahan besar dalam politik Indonesia.

Ini boleh dilihat pada insiden keputusan kontroversi yang berlaku di Mahkamah Konstitusi serta hal terkait tuduhan terhadap presiden Jokowi yang dikatakan mahu mengekalkan kekuasaan melalui penciptaan legasi politik apabila memainkan perananan dalam pengundian anaknya Gibran sebagai calon naib presiden yang berpasangan dengan Prabowo.

Selain dari sosok Prabowo yang memiliki sejarah seorang bekas jeneral era Suharto dan menteri pertahanan era Jokowi yang penuh kontroversi itu sendiri.

Prabowo juga terpaksa memikul beban isu moral dan etika yang tidak pernah selesai diperdebatkan. Malah keputusan Jokowi yang mengalihkan sokongannya dari Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) pimpinan bekas presiden Megawati Sukarnoputri kepada Partai Gerindra yang diketuai Probowo juga menjadi suatu polemik politik yang tidak mudah difahami.

Sungguhpun begitu, gema sokongan rakyat yang merasakan pentadbiran Jokowi berada pada aras prestasi yang memuaskan serta kadar populariti Jokowi yang masih pada tahap tinggi dilihat berhasil menstabilkan sokongan.

Namun itu semua bukanlah faktor terbesar yang memberikan Prabowo banyak kelebihan pada cubaannya merebut jawatan presiden kali ini. Akan tetapi adalah kerana penjenamaan semula politik yang dia lakukan bersama penciptaan persepsi lebih segar dengan karektor “Gemoy” yang baru itulah yang memadamkan semua imej-imej kontroversi yang dilemparkan terhadapnya pada sebelum dan sepanjang kempen berlangsung.

Pemilu 2024 adalah pilihan raya yang menyaksikan pengundi muda seawal 17 tahun akan mula turut mengundi. Dominasi 56 peratus pengundi muda yang berumur diantara 22 ke 30 tahun pula berupaya memberikan dampak yang tidak bisa dilihat ketara pada pemilu-pemilu yang berlaku sebelum ini.

Prabowo telah melakukan sesuatu yang tidak dilakukan oleh dua orang lagi pesaing politiknya apabila Prabowo secara maksimal menggunakan TikTok dan semua platform media sosial seperti Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram untuk menjenamakan semula diri, agenda dan naratif politiknya.

Kempen Prabowo di TikTok lebih berkesan dan berjaya kerana beliau telah memulakannya jauh lebih awal berbanding Anies dan Ganjar. Prabowo mula menaikkan video-video kempen politiknya di TikTok pada bulan Disember 2023, ketimbang Anies dan Ganjar yang memulakannya hanya pada bulan Januari 2024. Perkara tersebut telah memberikan capaian khalayak pengundi yang lebih meluas kepada Prabowo untuk menjalankan kempen.

MENARIK:  KPM, KPT kerjasama saring pelajar cemerlang ke matrikulasi

Keberkesanan kempen Prabowo juga dapat dilihat pada aspek kreativiti dalam menginovasikan bahan-bahan kandungan kempen. Selain melakukan banyak libat urus dengan selebriti, beliau juga giat melakukan kerjasama bersama sejumlah pempengaruh TikTok dan media sosial dalam rangka meningkatkan penglibatan serta menaikkan daya tarikan yang mampu memberikan beliau kelebihan.

Ternyata dalam pemilu kali ini interaksi Prabowo dengan pengundi muda dilihat lebih berfungsi berbanding pesaingnya apabila dikala Anies dan Ganjar tampak hanya lebih banyak membuat video-video ucapan penuh janji dan slogan retorik.

Sebaliknya Prabowo memaparkan video-videonya yang lebih manusiawi dan menghiburkan. Justeru kita dapat melihat Prabowo menangis di waktu sedih, menari sewaktu gembira dan menunjukkan sayang dan ehsannya termasuk terhadap haiwan.

Emosi dan semangat manusiawi inilah yang menyentuh hati dan jiwa kira-kira 56.5 peratus suara pengundi muda yang bakal mengundi.

Kesungguhan pasukan Prabowo membalas semua komen dan mesej serta kekerapan dan konsistensi Prabowo menayang dan menyiarkan video di TikTok pada hampir setiap hari yang mana ada kalanya lebih daripada sekali sehari sehingga tibanya hari pilihan raya telah mewujudkan suatu fenomena keintiman dalam hubungan di antara pemimpin dan rakyat yang sukar untuk dijelaskan dengan mantra politik yang biasa.

Bagi pengundi muda, biar apapun jua sejarah lampau Prabowo yang kontroversi, Prabowo yang mereka kenal pada pemilu pilpres 2024 kali ini adalah sama sekali Prabowo yang berbeza dari apa yang musuh-musuh politik cuba untuk gambarkannya.

Melalui media sosial yang dijadikan sebagai medium penjenamaan semula kekuatan politik Prabowo. Beliau memanfaatkan isu-isu yang lebih besar dan penting seperti isu kos sara hidup, ekonomi, pekerjaan dan Pendidikan yang lebih baik dan berkesan yang mereka slogankan sebagai Indonesia emas.

Prabowo memanfaatkan pakatannya dengan Gibran bagi mendapatkan suara pengundi Jokowi dengan meyakinkan pengundi bahawa dia akan terus melanjutkan segala apa yang telah dimulakan oleh presiden Jokowi seperti menyegerakan pembangunan ibu negara baru Indonesia yang sedang dibina iaitu Nusantara.

Sebagai salah satu usaha untuk meredakan imej retorik nasionalis dan Islamis yang dimilikinya. Prabowo mendekati pengundi kaum Cina dengan menjadikan dirinya sebagai seorang tokoh penyatuan yang patriotik dan berani mati untuk negaranya dengan menekankan dasar-dasar ekonomi yang mesra terhadap kepelbagaian dan toleransi. Itu sekali gus menjadikan Prabowo sebagai seorang bakal presiden yang senantiasa mahu merapatkan jurang perbezaan yang wujud antara pemimpin baru dan lama.

Strategi penjenamaan semula Prabowo Itu sekali gus telah melenyapkan segala kontroversi masa lalunya. Sekali gus menjadikan Prabowo kali ini sebagai seorang bakal presiden Indonesia yang terbuka lalu berkesanggupan untuk memohon maaf sewaktu penutup acara debat perdana presiden.


BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute dan bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular