ULASAN l Mustahil boleh pisah politik dan ekonomi

Shopee Sale

ULASAN l Sabtu lalu, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Anwar Ibrahim dilaporkan meminta supaya isu kejatuhan nilai ringgit tidak dijadikan “sepak terajang politik”.

Beliau juga dilaporkan berkata, situasi ekonomi Malaysia ketika ini tidak boleh disamakan dengan keadaan pada 1998 kerana kedudukan negara ketika ini jauh lebih baik walaupun ringgit "sedang melemah" berbanding dolar Amerika.

Maaf cakaplah kalau saya kata, perdana menteri mengharapkan sesuatu yang tidak wajar apabila meminta supaya kejatuhan nilai ringgit tidak dijadikan isu politik.

Kalau kita tahu atau masih ingat, kejatuhan ringgit ketika Krisis Kewangan Asia 1997-98 dijadikan modal politik yang membara oleh Anwar dan gerakan reformasinya.

Selain isu politik yang dicetuskan oleh "surat layang" Umi Hafilda Ali, perpecahan juga berlaku antara Anwar dan Dr Mahathir Mohamad mengenai bagaimana menangani Krisis Kewangan Asia itu.

Dr Mahathir, yang ketika itu Perdana Menteri, menolak kaedah Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) manakala pandangan Anwar, yang menjadi timbalan perdana menteri merangkap menteri kewangan, lebih mirip kepada kaedah IMF.

Boleh jadi banyak penyokong muda dan laskar siber Anwar hari ini masih hingusan apabila krisis 1997-98 itu berlaku. Jadi mereka mungkin tidak tahu yang Anwar sendiri bertubi-tubi menyerang pentadbiran Dr Mahathir. Beliau juga menyerang semua perdana menteri selepas itu mengenai isu ekonomi dan mata wang.

Memang betul macam Anwar kata, situasi ekonomi ketika ini tidak boleh disamakan dengan keadaan pada tahun 1998. Pada tahun 1997-98 berlaku serangan ke atas ringgit dan mata wang banyak negara Asia Tenggara dan Timur. Kata kuncinya "serangan".

Tetapi sekarang ringgit tidak diserang. Ia merosot kerana faktor biasa dalam pengurusan ekonomi negara dan perkembangan ekonomi antarabangsa.

Natijahnya krisis mata wang 1997-98 lebih rumit untuk ditangani kerana kejatuhan nilai ringgit berlaku serta-merta sedangkan kejatuhan ringgit sekarang berlaku perlahan-lahan sejak 2015 apabila ia mula melepasi RM4 bagi satu dolar.

MENARIK:  Kerajaan Terengganu pantau ajaran Ayah Pin

Lagipun, sekarang Anwar tidak perlu bersaing dengan sesiapa bagi melaksanakan dasar ekonomi dan mata wang. Pada tahun 1997-98 beliau terpaksa bersaing dengan Dr Mahathir. Sekarang beliau adalah supremo. Beliau perdana menteri dan beliau juga menteri kewangan.

Tidak ada siapa lagi hendak disanjung kalau berjaya dan dikutuk kalau gagal melainkan beliau semata-mata.

Adalah naif bagi sesiapa pun cuba memisahkan politik daripada ekonomi. Politik dan ekonomi adalah tiang kembar kesejahteraan rakyat jelata dan kelangsungan negara.

Oleh sebab itulah manusia disebut, silih berganti, sebagai "political animals" (haiwan politik) dan "economic animals" (haiwan ekonomi). Cuma manusia ada akal.


A KADIR JASIN ialah bekas ketua pengarang kumpulan NSTP (M) Bhd dan pernah menjadi penasihat media kepada perdana menteri.

Tulisan ini asalnya disiarkan di media sosial dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular