ULASAN | Isu papan tanda: Aneh dan pelik menteri Wilayah masih diam

Shopee Sale

Isu Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan operasi berskala besar–yang dikatakan menyasarkan papan tanda tidak memaparkan bahasa Melayu di pelbagai kawasan, termasuk Segambut, Pudu, dan Jalan Silang di pusat bandar–tiba-tiba menjadi isu yang panas.

Isu tersebut mungkin menjadi sensasi kerana beberapa ahli politik dalam Kerajaan Perpaduan sendiri kelihatannya bertelagah sesama mereka sama ada mereka mengkritik tindakan DBKL tersebut atau menyokongnya.

Menteri pelancongan, seni dan budaya dan anggota parlimen Bukit Bintang mengkritik tindakan DBKL manakala ketua Pemuda Umno pula mempertahankannya.

Sementara itu, DBKL dilaporkan berkata operasi berskala besar mereka hanya menyasarkan papan tanda tidak memaparkan bahasa Melayu kerana ia melanggar Undang-undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1982.

Dalam Facebook DBKL, badan itu menunjukkan beberapa contoh papan tanda yang hanya memaparkan tulisan Bahasa Malaysia dalam perkataan atau ejaan yang kecil.

Menteri pelancongan dilaporkan berkata dia menerima pertanyaan daripada pelancong asing yang bertanya apakah Malaysia sebuah negara bersifat perkauman atau ekstrem agama, berikutan serbuan DBKL tersebut.

Dan dikatakan keraguan pelancong asing tersebut secara langsung mempengaruhi keputusan pelancong untuk melawat Malaysia dan membantutkan daya saing negara di persada global.

Dikatakan juga, dengan kesediaan Malaysia menjadi pengerusi Asean pada 2025, beberapa siri mesyuarat dijadual berlangsung di negara ini tahun depan. Ini memberi peluang keemasan untuk mempamerkan kepelbagaian dan keterangkuman Malaysia di pentas global”.

Hujah ini, maaf cakap, agak meleset. Mana-mana negara di dunia ini sudah tentu akan mengutamakan bahasa kebangsaan mereka berbanding bahasa bahasa lain. Ini suatu semangat nasionalisme yang semula jadi (inherent).

Misalnya jika kita pergi ke negara China sekalipun, sudah tentu bahasa cina diutamakan berbanding bahasa lain. Justeru itu keraguan yang dibangkitkan itu tidak timbul sekali dan sewajarnya boleh dijawab dengan begitu mudah oleh menteri. 

Keraguan bukan isu sama sekali.

Tak nampak kenyataan menteri

Tidak nampak sebarang kenyataan daripada menteri Wilayah Persekutuan sama ada mengkritik atau menyokong tindakan DBKL tersebut. Dengan hormat, jika benar tiada sebarang kenyataan rasmi daripada menteri Wilayah Persekutuan, ia agak aneh dan pelik.

Jika tindakan DBKL itu betul, Menteri Wilayah Persekutuan perlu menyokongnya dan jika sebaliknya beliau perlu memperbetulkannya. Berdiam diri bukanlah opsyen yang sesuai.

Apakah posisi undang-undang dalam isu ini?

Ya, isu ini ada kaitan dengan sejauh manakah seseorang itu arif dan peka dengan kedudukan bahasa melayu dalam undang-undang tertinggi negara ini iaitu Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152 Perlembagaan Malaysia jelas memperuntukkan bahawa bahasa kebangsaan di Malaysia ialah bahasa Melayu.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan walau bagaimanapun tidak menafikan kedudukan dan hak bahasa lain untuk digunakan, dipelajari dan dikembangkan sekalipun dengan menggunakan dana awam.

MENARIK:  Geran tanah: Ku Li dakwa kerajaan negeri sengaja lengahkan

Oleh itu semua pihak perlu memahami asas penting ini. 

Para pakar perlembagaan menyatakan bahawa kedudukan bahasa melayu dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan adalah salah indigenous elements, selain Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan kedudukan Raja-Raja Melayu.

Prinsip itu semua amat perlu dihormati. 

Jika di India mungkin kita boleh hujahkan ketiga-tiga elemen di atas ibarat basic structure. 

Berdasarkan doktrin basic structure, ada beberapa peruntukan dalam Perlembagaan di India tidak boleh dipinda sama sekali seperti kedudukan India sebagai negara sekular! (Lihat kes Kesavananda Bharati lawan State of Kerala)

Di samping Perlembagaan, di Malaysia juga ada sebuah Akta Parlimen yang berkait dengan kedudukan bahasa Melayu iaitu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32)

Dalam konteks isu yang sedang dibahas sekarang undang-undang yang berkaitan adalah Undang- Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1982 . Undang-undang kecil ini digubal berdasarkan seksyen 102 Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Berdasarkan peraturan 3 (1) dan (2) Undang-undang kecil tersebut, semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan dan boleh juga dalam apa-apa bahasa lain manakala huruf bagi perkataan-perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan hendaklah dari saiz yang lebih besar daripada huruf-huruf atau tulisan perkataan- perkataan dalam bahasa lain.

Kerap timbul

Frasa "hendaklah dalam bahasa kebangsaan" jelas menunjukkan wajib diutamakan penggunaan bahasa kebangsaan sedangkan penggunaan bahasa -bahasa lain hanyalah sekadar pilihan (optional).

Apa yang berlaku nampaknya bahasa lain diutamakan dan bahasa kebangsaan seolah dikesampingkan.

Atas dasar itu kelihatannya DBKL berada di landasan yang betul.

Akhirnya isu ini kelihatannya bukan timbul buat kali pertama sebaliknya ia isu yang berulang.

Jika kali pertama timbul amat logik jika ia timbul kerana suatu kesilapan. 

Tetapi jika ia timbul kerap kali, mungkin agak sukar untuk menerima ia adalah kesilapan.


HANIPA MAIDIN adalah mantan timbalan menteri undang-undang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular