ULASAN | Ekonomi domestik mengukuh, kejatuhan ringgit faktor luaran

Shopee Sale

Ringgit Malaysia dilaporkan susut ke paras terendah dalam 26 tahun, iaitu mencecah paras RM4.80 berbanding dolar Amerika Syarikat (USD). 

Persoalan ini tidak dijawab oleh PMX selaku menteri kewangan apabila ditanya oleh wartawan, sebaliknya beliau tujukan kepada Gabenor Bank Negara untuk menjawab soalan tersebut. 

Ramai yang telah menyindir respon tersebut dan berpendapat bahawa penjelasan seharusnya dibuat oleh PMX.

Tetapi sekiranya soalan yang begitu kompleks jikalau dijawab dengan jawapan yang kurang lengkap, ia tentu akan memburukkan lagi prestasi ringgit dan keyakinan pelabur. 

Nilai mata wang sesebuah negara ditentukan oleh banyak faktor tetapi pada asasnya ia dipengaruhi oleh penawaran dan permintaan. Selain itu, Faktor-faktor lain yang turut mempengaruhi mata wang termasuklah keyakinan pelabur, polisi kewangan negara, kadar faedah, kestabilan politik, keadaan ekonomi, jumlah eksport dan import, dan faktor geopolitik.

Anwar Ibrahim

Gabenor Bank Negara, Abdul Rasheed Ghaffour pada awal bulan Februari menyebut, prestasi ringgit tidak mencerminkan prospek positif ekonomi masa depan Malaysia. Beliau berpendapat bahawa prestasi buruk ringgit baru-baru ini adalah sama seperti prestasi nilai mata wang serantau lain yang amat dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran. 

Faktor-faktor luaran yang dapat dijelaskan termasuk jangkaan faedah Amerika Syarikat, kebimbangan geopolitik (persepsi lebih selamat menyimpan USD apabila keadaan geopolitik semakin tidak stabil) serta ketidakpastian berkaitan dengan prospek ekonomi China (rakan dagangan terbesar Malaysia, pada 17.1% jumlah perdagangan Malaysia 2023).

Adakah kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk memperbaiki prestasi ringgit? 

Pastinya ada, cuma pendekatan yang kerajaan ambil untuk menguatkan ekonomi merupakan pendekatan jangka panjang supaya tindakan tersebut tidak mendatangkan beban kepada rakyat. 

Misalnya, kerajaan boleh menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk memperkukuhkan nilai mata wang negara, namun rakyat tentunya terkesan dan dibebankan susulan peningkatan pembayaran hutang. Oleh itu, kerajaan telah memilih pendekatan jangka panjang yang lebih berpotensi memberi impak besar termasuklah pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), usaha menarik pelaburan asing, penstrukturan semula ekonomi negara, pengukuhan fiskal dan mengurangkan hutang negara. 

Kesemua usaha ini sememangnya akan meletakkan pembangunan ekonomi pada dasar yang positif, tetapi kesannya akan mengambil jangka masa yang lebih lama untuk dirasai oleh rakyat dan dilihat dalam petunjuk ekonomi negara.

Kebergantungan kepada USD

Di samping itu, Bank Negara telah mengambil inisiatif jangka masa pendek untuk memperbaiki kedudukan mata wang ringgit dengan mengurangkan kebergantungan kepada USD. Bank Negara menetapkan eksport dengan ringgit dan pelaksanaan inisiatif Rangka Kerja Penyelesaian Mata Wang Tempatan (LCSF) bersama Indonesia dan Thailand. 

Selain itu, perjanjian pengaturan mata wang dengan China turut dilaksanakan tetapi masih belum lagi membawa impak besar dalam memperbaiki kedudukan ringgit. Pendekatan jangka pendek yang lebih drastik tidak dapat dilaksanakan supaya rizab mata wang asing negara kita tidak terjejas. Antara contoh pendekatan jangka pendek ialah menambat nilai mata wang ringgit dengan USD, atau campur tangan menstabilkan nilai mata wang pada lingkungan yang ditetapkan seperti yang dilakukan Singapura (Central Bank mereka mencatat kerugian sebanyak USD23 bilion pada 2023 untuk mengukuhkan nilai mata wang).

Realitinya, bukanlah senang untuk meningkatkan prestasi nilai mata wang ringgit secara cepat dalam jangka masa yang pendek tambahan dengan faktor-faktor luar yang tidak memberangsangkan. Faktor-faktor luar pada masa kini telah menambah lagi cabaran dengan keadaan geopolitik yang semakin tidak menentu. 

MENARIK:  Shamsul Azri dilantik KSN baru

Keadaan geopolitik khususnya keadaan di laut merah  yang tidak stabil berpunca sikap rakus israel yang menjadi punca gangguan sekuriti dan perdagangan dunia yang sedia ada memburukkan lagi keadaan. Dengan itu, adalah lebih wajar bagi negara kita untuk menambahbaik keadaan dan struktur dalaman ekonomi negara untuk mengatasi dan menghadapi cabaran luar yang berubah dengan dinamik pada masa depan.

Sehubungan dengan isu prestasi mata wang ringgit yang terkini, Abdul Rasheed Ghaffour mengulas dengan lebih lanjut bahawa “Pertumbuhan pada 2024 akan didorong oleh peningkatan dalam permintaan luar dan perbelanjaan domestik yang kukuh”. 

Eksport negara kita juga menunjukkan peningkatan yang stabil sejak suku keempat 2023 dan eksport Januari 2024 juga telah mencatat pertumbuhan positif sebanyak +8.7%. Pada masa yang sama sektor pelancongan juga semakin pulih dan dijangka akan melebihi prapandemik.

Ulasan daripada gabenor Bank Negara dijangka tidak dapat memperbetulkan prestasi ringgit untuk jangka yang terdekat.  Tetapi pada hakikatnya, penjelasan tersebut hanya penghuraian keadaan sebenar kepada perkembangan ekonomi kita. Kesemua pertumbuhan aspek ekonomi sudah pastinya akan mengukuhkan prestasi ringgit pada masa yang akan datang. Hanya masa yang akan menentukan.


NG RUI WE ialah pengerusi Biro Ekonomi dan Perdagangan Pemuda Amanah.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular