Dalam sejarah politik negara tidak keterlaluan jika dikatakan tidak ada seorang perdana menteri pun yang menerima kutukan, kritikan, sindiran, kata-kata kesat, cacian, penghinaan sebagaimana dihadapi Anwar Ibrahim di media sosial.
Betapa tidak beradabnya segelintir manusia ini, semuanya dilakukan atas kepentingan diri dan kelompok dalam kemaruk kuasa dan kegilaan yang tidak berkesudahan.
Jika diamati dengan kritikal apa yang kita saksikan daripada tingkah laku mereka adalah sebuah panorama yang dibentuk oleh hamparan kepalsuan dengan diselaputi pembohongan daripada perkara yang sebenar.
Kaedah segelintir manusia ini banyak menggunakan platform media sosial yang merupakan kegiatan manipulasi dan putar belit di pentas politik yang apabila diteliti dipenuhi kekarutan dan kesemuan, corak politik simulasi yang sarat pengubahsuaian dan pemberdayaan; belantara perwajahan yang penuh bayang-bayang dan kekarutan.
Kebanyakan putar belit dilakukan oleh jembalang-jembalang politik yang suka merasuk dan menyihir rakyat di media sosial biasanya dengan tema solidariti dan perpaduan bangsa dan demi menyelamatkan negara daripada perpecahan tetapi menopengi diri dengan kepalsuan, realiti diselimuti kekaburan dan maklumat dibungkus manipulasi.
Kisah adendum telah dibelit-belit sehingga kehilangan asal muasalnya.
Manipulasi adendum ini begitu rencam dimainkan segelintir manusia politik bagi mencetuskan kebencian rakyat.
Tidak usah membebelkan lagi kisah adendum kerana yang ingin direalitikan segelintir manusia politik ini ialah membangkit kemarahan rakyat kononnya perdana menterilah yang menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong. Maka mereka boleh mendesak supaya Anwar meletak jawatan sebagai PM.
Dalam keghairahan ini, jika diteliti segala batas-batas, norma-norma, pencairan bidang telah dilanggar mereka dalam apa yang dinamai sebagai transpolitik.
Transpolitik adalah istilah yang diperkenalkan tokoh semiotika Indonesia, Yasraf Amir Piliang. Saya telah membumikannya kepada konteks politik di negara ini.
Istilah ini bermaksud politik yang rentas sempadan mencampuri urusan bidang-bidang lain. Dalam hubungan ini transpolitik bukannya bertujuan menyelesai atau kerjasama atas nama perpaduan, kestabilan dan keamanan.
Politik langgar bidang lain
Di negara ini, transpolitik berlaku apabila politik telah melanggar dan mencampuri urusan bidang lain dengan tujuan mempengaruhi, menguasai dan menindas supaya bidang lain itu lemah, tolak ansur, patuh, tunduk dan jadi pak turut.
Walaupun ada kalanya tidak berjaya tetapi persepsinya yang ditanggapi dengan negatif oleh rakyat adalah matlamatnya.
Oleh itu batas-batas antara politik dan undang-undang sudah bercampur baur, hingga dalam contoh isu adendum keputusan 2-1 oleh Mahkamah Rayuan bagi orang politik jahil dianggap kemenangan bagi oposisi yang menyokong Najib Razak untuk memecahkan Umno.
Padahal ia adalah langkah seterusnya bagi Najib berdepan satu perbicaraan penuh substiantif iaitu semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang akan menentukan Najib menang atau mungkin kalah bergantung kepada keputusannya.
Dalam transpolitik ketika politik campur dalam urusan penghakiman dan undang-undang makanya penghakiman ikut nafsu akan muncul di media sosial, politik campur dalam bidang ekonomi dan kewangan sehingga membawa kepada rasuah dengan segala pakatan, kronisme, kolusi, kartel dan seumpamanya
Segala realiti buatan ini dapat ditonton melalui ulasan-ulasan visual dan mesej di media sosial, maka berlakulah perlanggaran ke atas tembok-tembok najis oleh kejahilan yang berleluasa terutamanya bagi penyokong-penyokong makluk politik ini di mana prinsip keadilan, kejujuran diketepi dan tidak dipeduli.
Seperti dijelaskan mereka yang jahil tentang undang-undang pun ingin membuat keputusan sendiri dan menghakiminya di mahkamah media sosial. Ini kerana rancangan perpecahan adalah lebih utama agar mencapai matlamat yang diisi oleh kelicikan dan kekotoran politik.
Dalam kekalutan yang dicetuskan di media sosial, maka hadir realiti rekaan yang sentiasa berubah-ubah dan penuh putar belit yang dinamai sebagai fantasmagoria.
Bayangkan daripada adendum dihantar kepada peguam negara semasa itu yang merupakan realiti hakikinya, rentetan realiti berjungkir balik berubah-ubah menjadi kerajaan sembunyikannya, kemudian Anwar sembunyikannya, kemudian Anwar derhaka kepada Agong dan akhirnya Anwar disuruh letak jawatan.
Inilah yang membuatkan kerajaan mencadangkan mahu memfailkan permohonan perintah larangan bersuara untuk melarang sesiapa sahaja daripada membincangkan isu berkaitan kes permohonan semakan kehakiman mengenai keabsahan dan ketulenan titah adendum kini mencetuskan pelbagai kekeliruan dan polemik dalam kalangan pengamal undang-undang, ahli politik dan juga rakyat.
Realiti yang berubah-ubah
Begitu juga dalam isu Hannah Yeoh apabila transpolitik berlaku politik bercampur agama yang tiba-tiba menonjol Malaysia menjadi negara Kristian, sekelumit spesies politik ini telah mainkan isu ini dengan membayangi pengwajahan atau citraan Malaysia sebagai sebuah negara Kristian dan inilah yang dicanang dan dipopularkan hasil daripada kenyataan “duta Tuhan” itu.
Sekali lagi setompok kaum manusia ini mencetuskan situasi fantasmagoria, realiti yang berubah-ubah yang tidak berpijak di bumi nyata dan tanpa pemerhatian kritikal.
Pencitraan spesies manusia ini akan Malaysia sebuah negara Kristian bermaharalela di media sosial yang menciptakan suatu imagologi (imej dengan realiti palsu dalam minda pembaca dan penonton media sosial dengan harapan menjadi menggantikan realiti hakiki yang sebenarnya) dengan mencetuskan simulasi ketakutan dan kebencian yang melampau terhadap musuh mereka iaitu DAP.
Realiti palsu yang diwujudkan di media sosial sudah bercampur dengan kebenaran yang merupakan asal isunya iaitu duta Kristian, tanpa dokumen sah bagaimanakah perkataan duta Kristian bertukar kepada pembentukan sebuah negara Kristian.
Bercampurnya antara citra dan kebenaran, kesemuan dan realiti, fakta tiruan dan asli dan kepalsuan dan kebenaran telah mengiringi masyarakat politik ke arah bayang-bayang, fatamorgana (hanya pencitraan dan tiada rujukan kepada realiti asal) dan fantasmagoria.
Dalam kocek makhluk politik ini ada saja idea dan pengawajahan palsu yang ingin direalitikan dan menunggunya untuk disebarkan.
Seperti dinyatakan fantasmagoria dimaksudkan sebagai realiti buatan yang selalu berubah dari masa ke semasa yang diharap dapat menjadi realiti sebenar mengantikan realiti hakiki yang akan dilupakan oleh tujahan gelombang maklumat palsu dan manipulasi tanpa henti dalam sesuatu waktu. Sebenarnya realiti buatan ini kerana ia tidak mempunyai rujukannya atau berdiri sendiri dan ia sekadar bersandar kepada ramuannya daripada kepentingan dan nafsu berkuasa.
Ia bertujuan memercik dan memancarkan situasi kegawatan, kegentingan dan ketegangan di dalam negara.
Contohnya isu sebelum ini adalah seperti kenaikan harga barangan, kejatuhan nilai ringgit, isu penyertaan syarikat asing dikaitkan dengan Israel dalam penstrukturan semula kepentingan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), semua isu-isu ini diperwajahkan supaya mempengaruhi rakyat marah dan membenci kerajaan.
Oleh itu makhluk politik ini ingin menzahirkan dunia citra rekaan mereka di media-media sosial dengan penampakan luarnya yang memesongkan rakyat.
Ketika politik menjajah ekonomi atau sebaliknya, politik campurtangan dalam bidang undang-undang, politik tunggang dan kendali agama, hukum agama atas pertimbangan politik maka khalayak politik di negara akan berhadapan dengan permainan halimunan dan jembalang politik, hakim bebas di media sosial, fantasmagoria di ruang siber, syaitan-syaitan hasrat dan ekstremisme dan mafia-mafia politik yang berleluasa.
Ini kerana panorama kehidupan politik di negara kita telah bercampur dan silang menyilang antara citra dan kebenaran, palsu dan benar dan tiruan dan asli menjadi kehidupan politik cacamarba, rancu dan rencam.
Namun dalam panorama sedemikian kerajaan harus peka dan berhati-hati supaya tidak terjebak dalam situasi sedemikian.
ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pengamat dan pembaca geopolitik dan perhubungan antarabangsa.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.