Tinjauan: Majoriti gen-Z setuju pelaksanaan PLKN 3.0

Shopee Sale

Satu tinjauan yang dijalankan mendapati 68 peratus rakyat Malaysia berumur 18 hingga 24 tahun bersetuju dengan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.

Tinjauan Awam PLKN 3.0 yang dilaksanakan Persatuan Pendidikan Diversiti (AOD) mendapati generasi milenial iaitu generasi yang pernah mengikuti PLKN sebelum ini mempunyai pendapat positif tertinggi terhadap program berkenaan.

Pengarah Eksekutif AOD, Jason Wee juga berkata majoriti besar daripada responden bersetuju dengan pelaksanaan semula PLKN.

"Dapatan pertama yang kita dapat adalah dua pertiga daripada responden bersetuju dengan pelaksanaan semula PLKN dengan hanya satu persepuluh, iaitu 11 peratus, tidak bersetuju.

"Maksudnya ada super majoriti yang bersetuju dengan pelaksanaan semula PLKN," katanya ketika mengumumkan dapatan kajian itu pada sidang media Tinjauan Umum dan Laporan Penuh Kajian PLKN 3.0, di Kuala Lumpur hari ini.

Pada Oktober tahun lalu, kerajaan bersetuju menghidupkan semula PLKN selepas program itu dimansuhkan pada tahun 2018 oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Latihan selama 45 hari

Menerusi skema latihan yang berbeza, lebih daripada 20,000 belia bakal menjalani latihan di kem tentera sedia ada selama 45 hari.

Menteri Pertahanan, Mohamad Hasan sebelum ini berkata skema PLKN sebelum ini menyebabkan kerajaan menanggung kos yang tinggi.

Sementara itu, Wee berkata perpaduan negara dinilai paling tinggi sebagai keutamaan dalam program PLKN (2.83 daripada 4), diikuti oleh patriotisme (2.68), pembangunan belia (2.56), dan persediaan ketenteraan (1.94).

Tinjauan mendapati responden Melayu meletakkan patriotisme paling tinggi sebagai keutamaan manakala responden Cina, India, dan bumiputera lain menganggap perpaduan negara paling tinggi.

Responden paling risau dengan gangguan seksual terhadap peserta dengan 52 peratus menjawab sangat merisaukan, diikuti buli peserta (49 peratus) dan kandungan berunsur berat sebelah politik (41 peratus).

Kurang satu pertiga daripada responden menyatakan kebimbangan mengenai kos program (27 peratus) dan membazirkan masa (22 peratus).

Pengurus Advokasi AOD, Amin Mubarak, berkata beberapa cadangan dikemukakan kepada kerajaan untuk mempertingkatkan program berkenaan.

Antaranya penyertaan jurulatih dan peserta latihan dari pelbagai latar belakang kaum dan agama berbanding pelaksanaan PLKN sebelum ini lebih cenderung kepada Melayu.

"Kalau kita lihat PRU15 kita akui bahawa wujud pergeseran sedikit tajam di antara kaum hasil deripada sentimen-sentimen yang kurang baik yang datang daripada beberapa pihak dalam pilihan raya umum sebelum ini.

MENARIK:  Lim: Keadaan sudah berbeza, namun DAP masih di landasan betul

“PLKN kali ini harus menjadi senjata untuk memerangi polarisasi kaum yang mungkin akan wujud, mungkin tidak wujud.

"Tetapi PLKN adalah medan yang penting untuk kita memerangi isu polarisasi kaum dan menaikkan semula kesepaduan sosial di Malaysia," katanya.

Cadangan lain yang dikemukakan ialah isu mengenai ketelusan proses tender terbuka.

Dia mencadangkan program percubaan untuk PLKN 3.0 dilaksanakan bagi memastikan peruntukan kerajaan tidak dibazirkan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim, yang juga hadir dalam sidang media itu berkata mereka yang terlibat dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Bahagian Keselamatan Parlimen Malaysia memperoleh penemuan serupa berhubung kajian tersebut.

Menurutnya patriotisme menjadi tumpuan utama kerana memandangkan generasi muda hari ini kurang patriotik.

Dia juga mencadangkan perbandingan dibuat dengan program latihan khidmat negara di negara lain.

Pada masa yang sama, Major (B) Ismail Mohd Hassan menggesa kemudahan penginapan bagi peserta latihan dipertingkatakn.

Menurutnya, tempoh program selama 45 hari juga mungkin tidak mencukupi berbanding pelaksanaan program sebelum ini yang mengambil masa selama tiga bulan.

Tinjauan tersebut yang diadakan dari 24 hingga 30 Januari, melibatkan 2,633 responden berumur 18 tahun ke atas.

Demografi responden adalah selaras dengan Bancian 2020.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular