Tempoh menunggu bagi rawatan kanser di fasiliti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan diberikan selewat-lewatnya sebulan, bergantung kepada tahap keserisuan pesakit, kata Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad.
Katanya bagi pesakit yang hadir untuk mendapatkan rawatan di klinik kesihatan (KK) dan kemudian didiagnos memerlukan rawatan susulan, pakar perubatan akan terus membuat surat rujukan kepada hospital KKM.
“Kalau dinyatakan sebagai kecemasan perubatan, dia segera akan dirawat.
"Kalau tidak pun, dia diberikan masa paling lewat sebulan tapi ia bergantung kepada keseriusan kes tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Kanser Sedunia, di Cyberjaya hari ini.
Dzulkefly berkata KKM turut menjalin kerjasama dengan fasiliti perubatan swasta dan hospital universiti seperti Hospital Universiti Sains Malaysia di Kelantan bagi rawatan kanser sebagai usaha mengurangkan waktu menunggu.
Katanya terdapat sembilan fasiliti KKM yang menawarkan perubatan onkologi, termasuk Hospital Kuala Lumpur, Institut Kanser Negara dan Hospital Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata kes kanser di Malaysia juga semakin meningkat.
Berdasarkan maklumat Registri Kanser Malaysia bagi tempoh 2017 hingga 2021 sebanyak 168,822 kes dilaporkan dengan kanser payu dara, kolorektal, paru-paru, limfoma dan hati sebagai lima kes tertinggi direkodkan.
Mengambil kira angka kes itu, Ahli Parlimen Kuala Selangor itu menyeru semua pihak termasuk badan bukan kerajaan untuk bersama kerajaan dalam membantu aspek penjagaan kanser serta memberi sokongan kepada pesakit.
Hari Kanser Sedunia disambut pada 4 Feb setiap tahun dengan tema kempen tahun ini Merapatkan Jurang Penjagaan Kanser.