Bekas Yang Dipertua Sarawak Allahyarham Abdul Taib Mahmud telah meletakkan asas yang kukuh untuk kerajaan negeri sekarang ke peringkat seterusnya.
Pandangan itu dikongsi Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri Chong Cheng Jien dalam ucapan takziah kepada Taib, di Facebook hari ini.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada sumbangan beliau (Taib) kepada pembangunan negeri.
"Walaupun kita mungkin tidak bersetuju dengan dasar-dasar tertentu semasa beliau menjadi ketua menteri, tetapi secara keseluruhannya, beliau telah memberi sumbangan yang besar kepada pembangunan negeri, meletakkan asas yang kukuh untuk kerajaan sekarang membawa negeri ke tahap yang lebih tinggi," kata pengerusi DAP Sarawak itu.
Chong pernah menjadi pengkritik lantang Taib, termasuk menggesa Taib menjawab pelbagai dakwaan rasuah dan salah guna kuasa.
Taib menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur awal pagi tadi pada umur 87 tahun.
Susulan kematian Taib, para menteri berkongsi ucapan takziah, menyifatkan ia sebagai satu kehilangan besar kepada Sarawak dan negara.
Kerajaan negeri Sarawak mengisytiharkan tempoh berkabung selama dua hari, dengan bendera akan dikibarkan separuh tiang di seluruh negeri, dan sebarang acara hiburan ditangguhkan.