Taib bapa dan arkitek pemodenan Sarawak – Jeniri 

Shopee Sale

Pengarah Sarawak Media Group yang juga Ketua Pegawai Eksekutif  Suara Sarawak dan New Sarawak Tribune Datuk Dr Jeniri Amir menyifatkan Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud seorang pemimpin berkarisma dan selayaknya digelar ‘Bapa Pemodenan’ Sarawak.

Sebagai seorang penganalisis politik dan pengkritik utama yang begitu dekat dengan Abdul Taib, Jeniri berkata karakter Allahyarham yang berwawasan dan mempunyai pemikiran strategik telah berjaya mengawal hala tuju kepimpinan, menstabilkan politik serta menyatukan rakyat Sarawak.

“Beliau membawa perubahan dalam pelbagai bidang di Sarawak. Perubahan ini mewujudkan peluang pendidikan, pekerjaan dan membolehkan berlakunya mobiliti peningkatan sosioekonomi dan pendidikan rakyat serta memajukan seseorang itu dari luar bandar ke bandar.

“Abdul Taib boleh dikatakan sebagai 'satu-satunya' (pemimpin paling lama) dalam politik, dan ia akan direkodkan bukan sahaja di Sarawak tetapi juga politik di Malaysia kerana sejak 1963, Allahyarham telah dilantik sebagai Menteri Kabinet Sarawak,” katanya ketika ditemui Bernama di Jakarta hari ini.

Selain itu, Jeniri berkata transformasi pembangunan di Sarawak dalam pelbagai bidang seperti sektor prasarana, ekonomi, kewangan, sosial, agama, pendidikan, pertanian dan perindustrian menjadi legasi Allahyarham Abdul Taib.

“Beliau memajukan Sarawak daripada sebuah negeri mundur ke negeri membangun dan berupaya mengurangkan kadar kemiskinan daripada 70 peratus kepada kira-kira 20 peratus.

“Saya fikir memang selayaknya Allahyarham diberi gelaran bukan sahaja sebagai 'Bapa Pembangunan' tetapi juga 'Bapa dan Arkitek Pemodenan Sarawak' kerana Allahyarham berjaya mengubah Sarawak menjadi negeri moden. Ini legasi beliau,” katanya.

MENARIK:  Segenap lapisan masyarakat akan nikmati hasil ekonomi negara, jamin PM

Jeniri berkata antara legasi lain yang ditinggalkan Abdul Taib adalah kestabilan politik di Sarawak yang menyumbang kepada kestabilan politik negara pada ketika ini dan keutuhan nilai perpaduan dalam kalangan rakyat di Sarawak.

Bekas Yang Dipertua Negeri dan Ketua Menteri Sarawak Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur kira-kira 4.40 pagi tadi.

Menurut Setiausaha Sulit kepada Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib, Nurr Shaffique Abdul Karim menerusi hantaran di media sosial, pengurusan jenazah dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum dibawa balik ke Kuching, Sarawak.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular