Sokong PM: MP Bersatu sedia cabar di mahkamah, kosongkan kerusi

Shopee Sale

PARLIMEN | Dua ahli parlimen Bersatu yang sebelum ini menyatakan sokongan kepada perdana penteri berkata mereka sedia mengosongkan kerusi parlimen masing-masing, jika mahkamah mendapati sokongan mereka kepada Anwar Ibrahim melanggar undang-undang.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi bin Abu Naim berkata demikian ketika mengulas keputusan pucuk pimpinan Bersatu untuk mengambil tindakan undang-undang bagi membolehkan sesebuah kerusi itu diisytiharkan kosong jika wakil rakyat mereka berpaling tadah.

"Pucuk pimpinan Bersatu sedang membuat keputusan mengubah perlembagaan bagi tidak lagi membenarkan ahli parlimen parti itu menyokong perdana menteri. Sebab sebelum ini tidak sebut dalam perlembagaan kalau berikan sokongan yang lain daripada Bersatu gugur kelayakan.

"Jadi bagi kami yang memberikan sokongan kepada perdana menteri, akan lihat apa yang akan berlaku daripada pindaan tersebut.

"Kalau dibawa ke mahkamah, kami akan cabar. (Jika, keputusan tidak berpihak) kalau itu yang berlaku, kami bersedia mengosongkan kerusi.

“Biar rakyat membuat keputusan (dalam PRK)," kata Syed Abu Hussin kepada pemberita di parlimen hari ini.

Mohd Azizi juga berkata akan mengambil pendirian yang sama sambil bersetuju dengan pendirian Syed Abu Hussin bahawa sokongan kepada perdana menteri adalah muktamad dan tidak akan ditarik balik dalam apa jua keadaan.

"Saya pun sama. Kami sedia apa jua kemungkinan termasuk kosongkan kerusi.

"Sekiranya itu adalah satu kenyataan, maka kita perlu tunggu," kata Mohd Azizi.

Namun, kedua-duanya berkata pandangan itu adalah keputusan peribadi dan tidak mewakili empat ahli parlimen parti itu yang turut menyatakan sokongan kepada perdana menteri.

"Saya cakap bagi pihak saya. Sokongan saya berikan setelah saya fikir hampir satu tahun berada di pihak pembangkang dan tidak ada apa-apa manfaat kepada rakyat," kata Syed Abu Hussin.

Sebelum ini, enam ahli parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar Ibrahim.

Selain Syed Abu Hussin dan Mohd Azizi, turut menyatakan sokongan kepada Anwar ialah Zulkaferi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

MENARIK:  BN peluang cerah rampas Nenggiri - Akmal

Nafi dakwaan Wan Saiful

Sementara itu, Syed Abu Hussin dan Mohd Azizi menafikan dakwaan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan bahawa menerima tawaran RM1.7 juta untuk memberi sokongan kepada Anwar.

"Saya bersama rakan-rakan yang telah memberi sokongan perdana menteri, ingin tegaskan bahawa sokongan yang kami berikan ini tak ada apa-apa unsur yang melibatkan pujukan, rayuan dan habuan.

"Kami ingin tegaskan jangan gunakan parlimen sebagai tempat melangsungkan politik yang tidak ada asas. Parlimen tempat kita bincang membantu bangunkan negara dalam suasana yang payah," kata mereka yang menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah.

Ketika sesi perbahasan titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam, Wan Saiful turut mendakwa dia telah hadir empat pertemuan dengan individu berbeza yang memujuknya untuk menyokong Anwar.

Dia mendakwa turut ditawarkan peruntukan untuk "Projek Mesra Rakyat", selain tawaran untuk membatalkan pendakwaan jenayah yang dihadapinya.

Dakwaan itu mengundang kekecohan dengan ahli parlimen kerajaan menyifatkan Wan Saiful sekadar menjaja khabar angin.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular