BICARA 1MDB l ekas perdana menteri Najib Razak memaklumkan bahawa dia tidak pernah menjejakkan kaki ke rumah ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.
Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan menegaskan bahawa beberapa bekas anggota pengurusan 1MDB yang mengakui telah melawat rumah Low, dan dengan itu merupakan sebahagian daripada konspirasi untuk melakukan salah laku 1MDB.
Semasa perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion hari ini, Najib menegaskan bahawa saksi penting, seperti bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) dana pelaburan negara itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, tidak pernah menyemak semula dengannya jika e-mel tertentu dan percakapan daripada Low adalah daripada tertuduh.
Najib juga menyasarkan kesahihan keterangan saksi pendakwaan lain, seperti bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman, bekas peguam Jasmine Loo, bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir, dan bekas pegawai khasnya, Amhari Efendi Nazaruddin.
“Untuk rekod, saya tidak pernah ke kediaman Jho Low dan tidak tahu ia berada di Jalan Kia Peng, namun nampaknya beberapa saksi pendakwaan daripada pengurusan 1MDB - Shahrol, Jasmine, Azmi, dan Hazem - dan bekas pegawai saya, Amhari, yang kerap mengunjungi kediamannya.
"Ini menunjukkan dengan jelas konspirasi individu-individu ini dengan Jho Low," kata Najib ketika memberikan keterangan dalam pembelaannya.