Pemimpin PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata slogan ‘PAS for all’ adalah untuk bukan Islam mengenali PAS tanpa mendengar "lidah DAP atau Pakatan Harapan".
Kata Roslan, DAP dan PH mempunyai "agenda jahat" dengan mendakwa slogan 'PAS for all' adalah untuk menakutkan masyarakat bukan-Melayu.
Sedangkan, katanya, PAS mahu buktikan ia menjanjikan sesuatu yang baik untuk semua.
"Kerana ia melahirkan sebuah kerajaan yang bersih dan bebas rasuah yang bertanggungjawab membela dan mempertahankan nasib dan kebajikan semua.
"Semua boleh hidup aman damai bebas berniaga dan mencari rezeki. Tiada rasisma, tiada diskriminasi. Tiada sekolah Cina atau Tamil yang ditutup dan tiada kuil atau gereja yang diroboh sebagaimana ditohmah musuh-musuh PAS," katanya seperti dilapor Harakah.
Pemerhati politik Azmi Hassan dari Akademi Nusantara sebelum ini dilapor media menganggap langkah PAS Selangor kitar semula slogan itu untuk berdepan pilihan raya umum (PRU) ke-16 hanya akan menambahkan “ketakutan” pengundi bukan Melayu.
Azmi berkata “projek khas” PAS Selangor itu hanya akan menyebabkan pengundi bukan Melayu PH yang menganggap PAS sebagai “ekstrem dan konservatif” akan menyokong calon Umno.
“Bila gerakan dibuat besar-besaran, ini akan menakutkan pengundi bukan Melayu terutama sekali penyokong PH yang sebelum ini tidak mahu menyokong calon Umno, akan mengundi (Umno).
“…. kerana alternatifnya PAS sukar untuk tarik undi bukan Melayu tanpa kerjasama Bersatu dan Gerakan,” katanya seperti dilapor FMT.
Slogan ‘PAS for all’ digunakan oleh PAS pada 2008 untuk PRU ke-12, ketika parti itu bersama DAP dalam Pakatan Rakyat. Ia kini dikitar semula oleh PAS di Selangor bagi menghadapi PRU ke-16.
Roslan menambah bahawa rakyat di empat negeri di bawah teraju PAS boleh membuktikan parti itu mengutamakan kesejahteraan untuk semua.
Tegas Roslan, slogan 'PAS for all' adalah usaha memberi penerangan khas kepada masyarakat bukan-Melayu dengan harapan mengikis segala "tohmahan dan fitnah" yang dilemparkan kepada parti itu selama ini.
Roslan juga menyorot bahawa PAS bukan parti "nyamuk" tetapi telah wujud selama tujuh dekad dan mempunyai lebih satu juta ahli.
“PAS merupakan parti terbesar di Parlimen dengan menguasai 43 kerusi, selain menerajui empat negeri Melayu dan perwakilan di hampir seluruh negeri kecuali Sarawak,” katanya.
Dia berkata PAS berjaya menakluki sokongan pengundi Melayu-Islam, yang pada masa lalu telah mengundi untuk Umno dan BN.
“Cumanya angka-angka menunjukkan PAS kurang berjaya dalam memperolehi sokongan masyarakat bukan-Melayu. Musuh politik PAS khasnya DAP dan PH kuat menyumbang ke arah faktor ini.
"Kerana terbukti DAP berterusan menghasut dan menakut-nakutkan masyarakat bukan-Melayu dengan menggambarkan seolah PAS ini parti ekstremis yang ganas dan tidak mesra mereka.
"Realitinya Islam yang PAS perjuangkan tidaklah begitu, malah keadilan dan kesejahteraan buat semua yang dijamin Islam itulah matlamat PAS," katanya sambil merayu kepada bukan Melayu untuk memberi peluang kepada PAS.