Rezeki berganda: Bagaimana pinjaman RM5,000 ubah hidup wanita

Shopee Sale

MALAYSIANSKINI | Ramai peniaga terpaksa gulung tikar akibat perintah kawalan pergerakan yang berlarutan akibat wabak Covid-19, tapi bagi sekumpulan usahawan kecil wanita, tempoh itu membawa rezeki berganda untuk mereka.

Lebih menarik, para wanita ini sebenarnya tidak berhasrat untuk menjadi usahawan pada asalnya. Namun wabak Covid-19 mengubah segalanya.

Namun ekoran wabak, seorang jurutera melancarkan perniagaan pes masakan nyonya, ahli farmasi cuba mengeluarkan produk kecantikan Ayurverdic dan suri rumah menjadi petani kecil herba.

Hari ini, mereka semua adalah usahawan berjaya dan memenangi anugerah perniagaan. Bermula di rumah, operasi mereka dipindah ke kilang untuk memenuhi permintaan.

Semua usahawan ini disokong MADCash, iaitu program pinjaman kecil yang dilancarkan oleh bekas jurutera, Nuraizah Shamsul Baharin.

Menurut Nuraizah, 52, pada 2023 sahaja, pinjaman kecil yang dihulurkan MADCash - singkatan untuk Multiple-Assist-Donate - telah membantu kehidupan 8,550 usahawan wanita.

Ia semuanya bermula apabila Nuraizah dan beberapa rakannya mengumpul wang untuk memberi pinjaman tanpa faedah kepada tiga wanita pada 2020. 

Dalam tempoh sebulan, pinjaman tersebut masing-masing membantu mereka menjana pendapatan sebanyak RM3,000, RM4,000 dan RM11,000, kata Nuraizah yang menjadi pendorong utama dalam usaha teknologi kewangan (fintech) yang sudah meraih sejumlah anugerah.

Pendapatan yang dijana tiga wanita tersebut hasil daripada pinjaman kecil membuatkan Nuraizah berfikir:

“Saya mula tertarik betapa pinjaman kecil dapat menjana rezeki yang berganda.”

Pinjaman untuk usahawan tiada akaun bank

Ini mendorongnya untuk melancarkan MADCash - platform yang menggunakan sumbangan awam untuk memberi pinjaman kecil tanpa faedah sehingga RM5,000 kepada usahawan wanita.

Usahawan wanita yang dibantu MADCash biasanya kalangan yang sukar mendapatkan pinjaman daripada sumber-sumber sah yang lain.

“Kami berkerjasama dengan wanita yang tiada akaun bank atau tiada akses untuk mendapatkan pinjaman daripada sumber biasa.

“Kami bersama-samai menjadikan mereka usahawan yang boleh menjalankan perniagaan mereka sendiri, dan boleh mendapat sokongan daripada sumber lain,” katanya.

MADCash tidak mengambil apa-apa keuntungan daripada sumbangan awam yang diraih tapi ketika tempoh awal ia beroperasi, penyumbang diberi pilihan untuk menambah sumbangan sebanyak 10 peratus untuk membantu syarikat itu.

Tapi kata Nuraizah, ia tidak lagi diperlukan kerana kos operasi MADCash kini mampu ditampung dengan geran CSR (tanggungjawab sosial korporat) dan sumber-sumber lain.

Pada 2020, MADCash memenangi wang tunai RM25,000 selepas menyertai pertandingan KPMG Sustainability Challenge, dan sejak itu, ia mula mendapat sokongan daripada pemodal teroka dan badan lain.

“Selepas pertandingan itu, tiga organisasi amanahkan RM5 juta kepada kami dan tahun lalu Maybank i-Tekad beri geran sebanyak RM2.7 juta untuk bantu komuniti B40 and asnaf,” katanya lagi.

Kos operasi MADCash bukan untuk mengendalikan platform sahaja. Ia juga termasuk proses saringan pemohon, untuk memastikan mereka berpeluang untuk berjaya dalam tempoh dua tahun pinjaman diberikan.

MADCash juga memberi bimbingan perniagaan untuk memastikan para penerima pinjaman dapat membayar balik dalam masa 10 bulan serta mengembangkan perniagaan dengan lebih luas.

Setakat ini, model MADCash berjaya membuahkan hasil.

Pada 2022, MADCash telah memberikan pinjaman keseluruhan berjumlah RM54,000 kepada 33 wanita. Jumlah itu meningkat lima kali ganda pada 2023, dengan RM354,000 kepada 157 wanita.

Sebanyak 98 peratus pinjaman telah dibayar secara penuh, membuktikan kejayaan program itu. Ia membakar semangat Nuraizah untuk terus mengembangkan usaha mereka.

Setelah membantu 491 usahawan di Malaysia, MADCash akan meluaskan programnya ke Singapura pada bulan depan dan telah mula berbincang dengan beberapa pihak di Tajikistan.

Untuk tahun ini, Nuraizah berharap MADCash boleh mengeluarkan 800 pinjaman, dengan harapan impaknya ke atas komuniti akan berlipat ganda.

Ini kerana wanita merupakan suri keluarga, dan keluarga adalah asas masyarakat. Ini menjadikan wanita agen penting untuk perubahan.

“Seorang wanita boleh memberi impak kepada 50 yang lain,” katanya.

Dari suri rumah menjadi ketua perniagaan

Antara semua usahawan yang dibantu MADCash, Nuraizah menganggap Irene Mositol, seorang ibu tunggal dari Ranau, Sabah sebagai yang paling berjaya.

Irene merupakan suri rumah dan memulakan perniagaannya sebagai petani kecil, menghasilkan herba-herba barat seperti rosemary.

Tanamannya mendapat sambutan restoran dan hotel. Irene kemudian bukan saja mengembangkan perniagaannya tetapi menjalinkan kerjasama dengan 12 petani kecil lain untuk meraih hasil secara bersama.

Pada 2022, setelah setahun bekerjasama dengan MADCash, Irene dan pasukannya berjaya menggandakan hasil perniagaan sebanyak tiga kali ganda, dan kini berkerjasama dengan 32 petani.

Irene tidak berhenti setakat itu. Dia belajar proses pengawetan dan pembungkusan komersial dan kini menghaslikan produk lain berasaskan herba, seperti garam herba dengan jenama Dumo Wangi.

MENARIK:  Lapan jenazah nahas helikopter disolatkan, diberi penghormatan akhir

Kisah perjalanan Irene mungkin dekat dengan hati Nuraizah kerana memiliki persamaan dengan zaman dia sendiri membesar.

Noraizah juga dibesarkan oleh ibu tunggal. Malah, ibunya juga seorang suri rumah. Selepas kematian suami, dia terpaksa bergantung kepada bantuan kebajikan untuk membesarkan Nuraizah dan dua lagi anaknya yang masih kecil.

Zaman kanak-kanak dan persekolahan juga mengajar Nuraizah cara beniaga.

Semasa berusia 17 tahun, wanita yang berasal dari Kuala Lumpur itu telah mengambil alih perusahaan koperasi sekolahnya, Sekolah Menengah Perempuan Bukit Bintang.

Menurutnya, perusahaan itu berjaya mendapat keuntungan dalam tempoh setahun.

“Kami untung RM5,000 pada tahun itu. Kami jual apa saja yang kedai buku tak jual. Kami dapatkan barang untuk dijual di Pasar Seni di Kuala Lumpur,” katanya.

Walaupun minat dalam bidang perniagaan, perjalanan hidup Nuraizah berubah selepas dia ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan dan kemudian bekerja di syarikat antarabangsa seperti Motorola dan Nokia.

Pun begitu, Nuraizah menganggap pengalamannya sebagai juruteralah yang membantunya untuk berfikir secara lebih berstruktur dan mahir membuat analisis. Pengalaman itu membantunya dalam menguruskan MADCash sehingga berjaya.

Melebarkan impak

Pada tahun lalu, perusahaan sosial ini telah menerima modal usaha rentan (venture capital) sebanyak RM5 juta serta menjalin kerjasama dengan Kedutaan Amerika Syarikat bagi mengendalikan akademi dalam talian untuk usahawan baru.

“Perkara pertama yang diajar ialah apa yang masuk ke poket kanan tak patut keluar melalui poket kiri. Dan paling utama, kami ajar mereka untuk bayar gaji pada diri sendiri.

“Usahawan-usahawan wanita ini juga belajar untuk kenal pasti apa yang membuatkan perusahaan mereka unik, dari mana hasil dijana, siapa pelanggan mereka dan cara mengembangkan perniagaan mereka,” katanya.

MADCash juga sedang meneliti cara untuk menyokong wanita yang tiada kecenderungan dalam bidang perniagaan, misalnya pekerja gig.

“Contohnya, mereka boleh beli motosikal dari syarikat kami menerusi program milikan bersama, dan buat bayaran ansuran untuk akhirnya jadi pemilik penuh,” katanya.

MADCash juga cuba melebarkan impaknya dengan memberi bimbingan kepada wanita yang ingin bergiat dalam politik, agar dapat meningkatkan perwakilan wanita dalam arena yang cukup penting ini.

Dengan sokongan Kedutaan AS, pada Januari lalu MADcash melancarkan satu program bimbingan mentor untuk 50 wanita yang baru bergiat dalam politik, atau berminat untuk menceburinya.

Peserta program termasuk dari 10 parti politik, selain mereka yang tidak terkait dengan mana-mana parti.

Mengimbau kembali kejayaan yang dikecapi MADCash dalam masa yang singkat, Nuraizah seakan-akan tidak percaya dia berjaya memberi impak sedalam itu, terutam dalam bidang selain keusahawanan.

“Semasa kami bermula, kami minta sumbangan awam sebanyak RM100. Tapi seorang kawan nasihat saya untuk minta sebanyak mana yang diperlukan. Kami ikut nasihat itu dan kami dapat apa yang diperlukan.

“Dari situ, saya dapati ramai orang yang percaya pada kebolehan kami, di saat kami belum percaya pada diri sendiri,” katanaya.

“Inilah sesuatu yang paling menakjubkan sepanjang perjalanan ini. Saya fikir saya hanya buat benda kecil, tapi orang lain nampak yang saya boleh beri impak yang lebih besar.

“Inilah perkara yang paling saya hargai,” katanya lagi.


MALAYSIANSKINI adalah siri artikel mengenai rakyat Malaysia yang memberi inspirasi.

Pada bulan Mac, kami akan menyiarkan wawancara dengan para wanita terkemuka di Malaysia, melalui siri Wanita Di Hadapan sempena Hari Wanita Antarabangsa.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular