Astro telah mengambil tindakan undang-undang terhadap sebuah restoran di Kuala Lumpur dan sebuah hotel butik di Cameron Highlands setelah didapati menyiarkan kandungan Astro dicetak rompak kepada pelangganya di premis mereka tanpa kebenaran syarikat itu atau lesen.
Astro pada satu kenyataan merekodkan Perintah Persetujuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan pengusaha restoran dan hotel butik berkenaan masing-masing pada 17 dan 19 Jan lalu.
Menurut kenyataan itu, kedua-dua pemilik perniagaan itu bersetuju membayar ganti rugi masing-masing sebanyak RM55,000, menerbitkan permohonan maaf secara terbuka di media dan memberikan aku janji untuk berhenti daripada melanggar hak cipta Astro dalam apa cara sekalipun.
Selain itu, kedua-dua premis berkenaan juga bersetuju dengan langganan komersial Astro secara keseluruhan bernilai RM53,000.
"Tuntutan sivil Astro terhadap dua entiti perniagaan tersebut adalah berdasarkan duluan dalam keputusan penting Mahkamah Tinggi bahawa adalah salah untuk premis komersial menayangkan kandungan Liga Perdana Inggeris daripada sumber yang tidak dibenarkan termasuk siaran Astro tanpa lesen komersial,” menurut kenyataan itu.
Penayangan kandungan hak cipta Astro kepada orang ramai di premis perniagaan tanpa kebenaran adalah satu tindakan pelanggaran hak cipta menurut Seksyen 36 Akta Hak Cipta 1987.
Dalam kes berasingan, Astro memaklumkan seorang individu didenda RM12,000, atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen Ampang di Kuala Lumpur Jumaat lepas setelah mengaku bersalah menjual kotak TV dengan kandungan Astro tidak berlesen.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 30 Mac 2023 di sebuah kedai di Ampang, Selangor, apabila didapati memilki tiga kotak TV Android yang mana dua daripadanya telah dimuatkan dengan kandungan Astro yang tidak dibenarkan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Astro, Tai Kam Leong, dalam kenyataan sama, berkata syarikat itu menghantar isyarat bahawa langkah tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak didapati bersalah melakukan kesalahan cetak rompak.
Beliau berkata Astro juga mengalu-alukan hasil positif ini daripada tindakan penguatkuasaan terhadap pihak entiti komersial dan individu yang menayangkan kandungan kepada pelanggan secara tidak sah.
“Cetak rompak amat menjejaskan keupayaan untuk terus melayani peminat kandungan Astro dan menghakis keupayaan kami untuk membuat pelaburan selanjutnya dalam kandungan premium untuk rakyat Malaysia,”katanya.