Representasi Rosmah gugur pertuduhan belum muktamad

Shopee Sale

Jabatan Peguam Negara (AGC) masih belum membuat keputusan berhubung representasi ketiga Datin Seri Rosmah Mansor bagi menggugurkan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri yang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memberitahu Hakim Mahkamah Tinggi K Muniandy, pihak pendakwaan telah menerima satu lagi surat susulan daripada Tetuan Reza Rahim & Rajivan yang mewakili Rosmah, 72, membangkitkan beberapa perkara baharu.

"Semua fakta baharu ini perlu disiasat bagi mengesahkan perkara yang disentuh dalam surat itu, namun ia mengambil masa kerana kerumitan isu dan kebanyakan saksi tidak dapat tampil semasa kami memanggil mereka (untuk siasatan).

“Sehingga kini kami belum ada keputusan mengenai representasi itu, dan untuk menjimatkan masa kehakiman, kami mencadangkan untuk terus mendengar permohonan (bagi menggugurkan pertuduhan) serta perbicaraan, sementara pelbagai langkah sedang dilaksanakan sehingga kami mempunyai keputusan (berhubung representasi) itu,” kata Ahmad Akram semasa sebutan kes di Mahkamah Tinggi hari ini.

Peguam Joshua Tay yang mewakili Rosmah berkata pihaknya bersetuju dengan cadangan pendakwaan dan Hakim Muniandy kemudian menetapkan 4 Julai untuk mendengar permohonan isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu untuk menggugurkan 17 pertuduhan terhadapnya.

Ini merupakan representasi ketiga Rosmah, selepas yang pertama disampaikan pada 3 Mei lepas, dan yang kedua pada 18 Ogos, namun masih belum ada keputusan dibuat oleh AGC sehingga kini.

MENARIK:  Mogok lapar: Mythreyar dapat sanjungan dari bumi Gaza

Rosmah, 72, menfailkan permohonan untuk dibebas dan dilepaskan daripada semua 17 pertuduhan itu pada 4 Okt 2020.

Rosmah didakwa melakukan kesalahan itu di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di Kuala Lumpur antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 serta LHDN di Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Perbicaraan kes itu bermula pada 24 Ogos tahun lepas dan dua saksi telah dipanggil memberi keterangan.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular