Rasuah RM1.77 juta: Setiausaha sulit bekas menteri diperintah bela diri

Shopee Sale

Bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya diperintah membela diri atas lapan pertuduhan menerima rasuah RM1.77 juta berkaitan tender perkhidmatan pengiklanan di bawah kementerian itu, enam tahun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Mohd Saifullah Mohd Minggu @ Mohd Hisham, 33, di akhir kes pendakwaan.

Bagaimanapun, mahkamah melepaskan dan membebaskan Mohd Saifullah daripada 11 pertuduhan meminta dan menerima suapan berjumlah RM820,530 berhubung tender yang sama.

Hakim juga turut melepas dan membebaskan tunang Mohd Saifullah, Nurfadziana Abdul Kadir, 32, daripada tuduhan bersubahat dengan tertuduh menerima suapan RM232,000 selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Suzana memaklumkan kepada Mohd Saifullah bahawa bagi tujuan membela diri, tertuduh mempunyai tiga pilihan iaitu sama ada memilih untuk berdiam diri atau sama ada ingin memberi keterangan di dalam kandang tertuduh dengan memberi keterangan secara tidak bersumpah atau memberi keterangan bersumpah di kandang saksi yang boleh disoal balas.

Sementara itu, peguam Haijan Omar yang mewakili Mohd Saifullah memaklumkan mahkamah anak guamnya memilih untuk memberi keterangan dari kandang saksi secara bersumpah dan boleh disoal balas.

Katanya, selain itu, pembelaan berhasrat memanggil tiga saksi termasuk Mohd Saifullah untuk memberi keterangan.

Prosiding hari ini turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Low Chin How, Noor Syafina Mohd Redzuan, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Nurul Atiqah Mohamad Alias.

Mengikut lapan pertuduhan itu, Mohd Saifullah didakwa menerima suapan berjumlah RM1,765,000 daripada pemilik syarikat Inter Bev Network Sdn Bhd, Ronald Seto Kong Seng melalui Roslan Lahada sebagai dorongan untuk tertuduh berjanji mendapatkan tender "Perkhidmatan Penghasilan Penjenamaan (Brand) dan Kreatif (Creative).

Ia bagi kempen pengiklanan Tourism Malaysia kepada syarikat Inter Bev Network dan tender ‘Cadangan Promosi dan Pengiklanan Digital Sempena Tahun Melawat Malaysia 202’ secara rundingan terus kepada syarikat Plan B Digital Sdn Bhd.

MENARIK:  Elak terlebih makan ketika sambutan Aidilfitri - pakar diet

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di beberapa tempat antaranya di Red Box Karaoke dan Coffee Bean di pusat beli-belah Pavillion, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC); di pejabat setiausaha sulit kanan kepada menteri, di Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya; di Vipod Residences dan Petronas Dengkil antara jam 11 pagi hingga 11.30 malam, pada 21 Dis 2018 hingga 1 Mac 2019.

Bagi pertuduhan meminta dan menerima rasuah, Mohd Saifullah didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Nurfadziana dituduh mengikut Seksyen 28 (1) dan kedua-dua mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara hingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan 17 April ini bagi prosiding bela diri.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular