Pelaksanaan projek rintis pemanjangan waktu operasi klinik berdekatan hospital pada tahun lepas telah diteliti dan permohonan untuk meneruskan pembayaran elaun lokum sedang dipertimbangkan agensi pusat.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan semalam memaklumkan, buat masa ini pegawai perubatan yang diarah bertugas pada Sabtu dan hari kelepasan am masih layak menuntut Elaun Lokum.
Pegawai kesihatan yang bertugas mulai jam 9 pagi hingga 1 petang pada Ahad pula boleh menuntut cuti gantian dan tertakluk kepada kelulusan ketua jabatan.
Menurut kenyataan KKM, projek rintis tersebut dilaksanakan mulai 25 Mac hingga 31 Dis tahun lepas selepas mengambil kira isu kesesakan di hospital.
“Dalam tempoh itu pegawai perubatan yang bertugas pada hari Ahad telah diberi kelulusan khas secara bertempoh dalam projek rintis bagi membolehkan elaun lokum dibayar sekiranya mereka diarah bertugas secara lokum.
“Selain itu, pegawai farmasi dan juru x-ray dalam kumpulan pengurusan dan profesional juga diberi pemanjangan elaun lokum pada kadar yang berbeza,” kata KKM.
Setelah mengambil kira isu kesesakan di hospital termasuk di Selangor, kerajaan menerusi Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR), bersetuju KKM melaksanakan projek itu di klinik kesihatan yang berdekatan dengan hospital.
Klinik yang terpilih ialah Klinik Kesihatan Bandar Botanik, Klang (berdekatan dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah), Klinik Kesihatan Taman Ehsan, Gombak (Hospital Selayang) dan Klinik Kesihatan Ampang, Hulu Langat (Hospital Ampang).
“Bagi penyampaian perkhidmatan di klinik kesihatan, waktu operasi adalah mengikut waktu bekerja pejabat.
“KKM prihatin untuk memastikan rakyat mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik di klinik kesihatan,” menurut kenyataan itu.