Polis tidak menemui sebarang bukti penglibatan jenayah dalam kes 24 akses pengguna yang tidak dikenali bagi meluluskan permohonan majikan untuk mendapatkan pekerja asing.
Perkara itu didedahkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya minggu lalu.
Kelulusan itu dibuat melalui Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang dimiliki oleh firma swasta Bestinet Sdn Bhd, dan digunakan oleh kerajaan untuk memproses permohonan pekerja asing.
Dalam laporan awal Julai lalu, PAC mendapati kelemahan dalam pengurusan kawalan pengenalan (ID) sistem FWCMS digunakan untuk meluluskan Epass (permit kerja).
Ia mendapati isu keselamatan dan tadbir urus, dengan sistem itu terdedah kepada penggodaman dan akaun pengguna, yang sepatutnya hanya dipegang oleh kakitangan kerajaan, telah diakses oleh individu yang tidak dibenarkan.
'Kegagalan teknikal'
Bagaimanapun, siasatan polis mendapati bahawa kelulusan permohonan pekerja asing sebenarnya dibuat melalui akaun milik Kementerian Sumber Manusia.
“Rekod menunjukkan ID tersebut adalah milik individu yang bukan pegawai kementerian kerana pertukaran sesi pengguna yang merupakan kesilapan teknikal sistem tersebut dan bukan disebabkan oleh penggodaman ke atas sistem itu sendiri,” kata PAC dalam laporan terbarunya.
Menurut laporan itu, kementerian juga telah mengesahkan kesahihan permohonan yang dibuat daripada semua 24 syarikat.
Rujukan silang dengan FWCMS juga mengesahkan kelulusan kuota dikendalikan dengan betul dan ID yang dibenarkan telah digunakan dalam urus niaga berkenaan.
PAC berkata polis merujuk kertas siasatan mereka kepada Jabatan Peguam Negara pada 17 Julai lalu dan kemudian mengklasifikasikannya sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) kerana tiada unsur jenayah.
Polis mendapati ia berpunca daripada masalah teknikal FWCMS, yang tidak mengakibatkan kerugian kepada mana-mana pihak, kata PAC.
Bagaimanapun, PAC dalam kenyataannya memandang serius isu kelemahan teknikal dalam FWCMS kerana ia telah membawa kepada andaian bahawa kuota 24 pekerja asing telah diluluskan oleh pengguna yang tidak dibenarkan.
Ia juga meminta tindakan diambil bagi mengelak kesilapan sama berulang pada masa hadapan.