Pihak polis akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri untuk terus memantau seorang warga Algeria yang mengaku sebagai keturunan ke-38 Nabi Muhammad.
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution, berkata pemantauan terhadap individu itu akan diteruskan walaupun setakat ini tidak ada laporan polis terhadapnya yang dikenali sebagai Sayyid Muhammad Amin Al Idrisi Al Hasani Al Maghrobi.
"Kalau aktiviti dia bersifat keagamaan dan ada elemen pelanggaran terhadap apa-apa juga undang-undang dan enakmen negeri, pihak polis kita akan kerjasama dengan pihak berkuasa negeri untuk mengambil tindakan.
"Dari segi polis, tugas kita memantau dan menjaga keamanan dan ketenteraman dan awam.
"Jadi kita meneruskan pemantauan, kalau ada elemen menjejas dan mengancam keselamatan awam, daripada individu ini atau pengikutnya itu di bawah kuasa polis," katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.
Saifuddin berkata lelaki itu keluar masuk menggunakan pas sosial dan boleh berada di Malaysia selama 90 hari.Â
Dalam rekod, katanya, dia seorang warga Algeria, dan melancong dengan menggunakan pasport Perancis.