Perkasa mahkamah syariah: Rakan PAS usah gusar, kata Idris

Shopee Sale

PAS berkata parti itu sentiasa konsisten dengan perjuangan mereka untuk memartabatkan undang-undang syariah di negara ini.

Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata sikap itu diserlahkan sama ada ketika parti terbabit berada di luar kerajaan, atau semasa menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Justeru, katanya, atas sikap itu juga PAS berikrar untuk menyokong penuh inisiatif Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) memperkasa bidang kuasa mahkamah syariah melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan.

"Perjuangan memartabatkan undang-undang syariah adalah perjuangan PAS sejak dahulu lagi. Ketika berada di luar kerajaan, ketika saya ditaklifkan menjadi menteri agama dan sehingga sekarang," katanya dalam kenyataan petang ini.

Dia yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai menambah, untuk membolehkan pindaan itu dibuat kerjasama semua pihak dan tanpa mengambil kira latar parti politik sangat diperlukan.

"Kerjasama semua pihak tanpa mengira parti atau kumpulan amat diperlukan agar pindaan Perlembagaan Persekutuan dapat dijayakan bagi mempertingkatkan bidang kuasa enakmen kanun jenayah syariah di negeri-negeri," katanya.

Isu enakmen jenayah syariah menjadi perhatian ramai dan dipolemikkan baru-baru ini susulan keputusan mahkamah tertinggi negara membatalkan 16 peruntukan yang digubal Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Keputusan itu dibuat selepas sembilan hakim bersidang dan mendapati penggubalan itu melebihi had kuasa negeri dan bercanggah dengan perlembagaan negara.

Ekoran itu kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji serta mengemukakan cadangan agar undang-undang syariah diperkasakan.

Pada 16 Feb lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga bersetuju Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) mengemukakan cadangan bagi memperbaiki mutu mahkamah syariah.

MENARIK:  Tempoh sah kad media disingkat: SOP sedang diselaras, kata Jab Penerangan

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, selaku pengerusi MKI yang juga mahu suhu hangat politik negara dikendurkan ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan pada 9 Feb lalu.

Mengulas lanjut Idris berkata semua rakan PAS termasuk daripada kalangan bukan Islam tidak perlu berasa bimbang dengan pendiran parti tersebut.

"PAS beri jaminan bahawa sebarang usaha untuk memperkasa dan memantapkan enakmen kanun jenayah syariah ini pastinya akan mematuhi prinsip demokrasi berparlimen dan raja berpelambagaan.

"Tidak ada sebab untuk sebahagian rakan kami yang muslim atau rakan-rakan kami yang bukan muslim merasa gusar dengan usaha-usaha ini," katanya lagi.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular