Perbadanan Putrajaya pantau ketat bazar Ramadan

Shopee Sale

Tapak bazar Ramadan di Putrajaya akan dipantau setiap hari oleh pasukan petugas Perbadanan Putrajaya (PPj) bagi memastikan isu kebersihan dan keselamatan makanan yang terjadi sebelum ini tidak berulang, kata Presiden Datuk Fadlun Mak Ujud.

Beliau berkata 700 peniaga bazar Ramadan akan diberikan taklimat minggu depan dari segi penyediaan makanan supaya bersih dan selamat.

"Kadang-kadang peniaga sediakan (makanan) petang dan mungkin masa dihidang di luar kawalan. Untuk memastikan (kebersihan) kita sentiasa buat pemantauan dan sekiranya berlaku kita beri ingatan atau hentikan mereka daripada berniaga serta-merta.

"Kita akan pastikan dari segi kualiti penyediaan makanan itu baik," katanya kepada media selepas merasmikan festival pencahayaan edisi khas, Festival Lentera: Sisiran Tasik Putrajaya 2024, di Putrajaya malam tadi.

Pada bulan puasa tahun lepas, tular video memaparkan mi berlauk sotong yang dikenali sebagai 'Mee Tonggek' berharga RM30 yang didakwa sudah berulat dan dibeli di bazar Ramadan Presint 3 di sini.

Susulan itu, PPj mengeluarkan notis amaran kepada pengusaha gerai itu dan diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Fadlun berkata tahun ini PPj akan memastikan semua peniaga bazar Ramadan tidak lagi menggunakan plastik untuk membungkus makanan dan akan memperkenalkan penggunaan pembungkusan daripada bahan biodegradasi atau boleh urai, selain menggalakkan pembeli membawa bekas masing-masing.

Umat Islam di Malaysia dijangka mula berpuasa pada 12 Mac ini.

Ditanya tindakan terhadap peniaga yang memberi atau menjual lesen berniaga kepada orang lain, beliau berkata PPj akan menarik terus lesen tersebut sekiranya peniaga didapati berbuat demikian, namun tindakan itu dilihat dapat dibendung memandangkan setiap peniaga diberikan pas berserta gambar masing-masing.

"Kita akan dapat kesan dari awal kerana kita keluarkan pas yang ada gambar peniaga. Kita tidak beri lesen kepada mana-mana persatuan tetapi kepada individu," katanya.

MENARIK:  9,083 penduduk dipindahkan selepas Gunung Ruang meletus lagi

Fadlun berkata sebanyak tujuh tapak bazar Ramadan disediakan pihaknya tahun ini iaitu di Presint 9, Presint 11, Presint 14, Presint 16 dan tiga lokasi di Presint 3, selain di Presint 11 yang diuruskan oleh Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) bagi memberi peluang kepada warga Putrajaya berniaga.

Sementara itu, beliau berkata PPj sedang membuat bancian untuk mendapatkan jumlah peniaga yang beroperasi dengan kereta tanpa kebenaran di kawasan sekitar khususnya di Dataran Putra.

Hasrat PPj katanya adalah untuk mengumpulkan golongan itu dan memberikan taklimat keselamatan makanan serta meminta mereka mengambil suntikan tifoid agar makanan dan minuman dijual selamat untuk pembeli.

"Kalau semuanya lancar kita akan sediakan tempat khas untuk mereka berniaga dan diberi lesen selepas melalui semua proses.

"Setakat ini tiada aduan (isu kebersihan) tapi kalau boleh mereka ikut peraturan dan mengambil suntikan," katanya dan menambah setakat ini kira-kira 10 peniaga telah dikenal pasti.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular