Pengeluaran pas media ikut kod etika Jabatan Penerangan – Fahmi

Shopee Sale

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini menjelaskan bahawa kod etika media kerajaan akan menjadi piawaian tunggal yang digunakan dalam memberikan pas perakuan media kepada wartawan.

Fahmi berkata Majlis Media Malaysia (MMM) - yang merupakan badan yang dirancang untuk pengawalseliaan kendiri media - boleh mempunyai kodnya sendiri, tetapi ia tidak akan digunakan oleh Jabatan Penerangan dalam memutuskan sama ada untuk mengeluarkan atau membatalkan pas media.

“Versi kod etika wartawan yang dikemas kini yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan semalam adalah perkara berasingan daripada kod etika yang akan dikeluarkan - jika ada - oleh Majlis Media.

“Saya harap pengamal media tidak keliru dalam perkara ini,” jelasnya.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat kabinet yang diadakan di Kementerian Komunikasi di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini, timbul bantahan dalam industri terhadap perananan kerajaan merangka dan melaksanakan kod tersebut, dan persoalan mengenai kemungkinan ia bertindih dengan Majlis Media yang dirancang ditubuhkan.

Kod etika yang dilancarkan semalam menggariskan lapan tanggungjawab teras untuk media.

Ini termasuk menjadi suara masyarakat majmuk; telus dan berintegriti; keadilan dalam menyampaikan maklumat, kesahihan dan ketepatan maklumat; bebas daripada kepentingan peribadi; dan melindungi privasi dan kerahsiaan sumber.

Semalam, Fahmi berkata sebaik Majlis Media diasaskan, ia akan ditugaskan untuk memastikan pematuhan kod etika kerajaan.

Bagaimanapun, dia berkata hari ini terpulang kepada Majlis Media sama ada mahu menggunakan kod Jabatan Penerangan atau memperkenalkan kod etikanya sendiri.

Dia berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai kemungkinan pertindihan sekiranya terdapat dua set kod yang berasingan.

“Jabatan Penerangan hanya akan menggunakan kod etika ini untuk membatalkan atau mengeluarkan kad perakuan media.

"Kad perakuan media ini tidak diberi oleh Majlis Media," katanya.

Pas media diperlukan untuk menghadiri majlis dan pejabat rasmi kerajaan, termasuk Parlimen.

Ditanya sama ada lidah rasmi parti politik akan mendapat mendapatkan pas media semula jika ia dibatalkan, Fahmi berkata "tidak semestinya".

MENARIK:  Lelaki didakwa bunuh ibu

“Kemungkinan (untuk mereka mendapatkan semula kad media), ia tertakluk kepada keputusan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan. Tetapi secara dasar, tidak,” katanya.

November lalu, pas media wartawan Harakah Daily - yang merupakan akhbar rasmi PAS - telah dibatalkan oleh Jabatan Penerangan selepas penerbitan itu meletakkan bendera Israel di belakang gambar Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam artikelnya, dikatakan mengaitkan pengerusi Pakatan Harapan itu dengan rejim Zionis.

Penerbitan itu kemudian menukar foto yang digunakan dalam artikel dan telah mengemukakan rayuan berhubung pembatalan kad media yang diiktiraf kerajaan.

Fahmi kemudian berkata kerajaan bersedia untuk "memaafkan" penerbitan itu dan menunggu surat rayuannya.

Dalam berita berkaitan, Fahmi yang juga jurucakap kerajaan mengumumkan mesyuarat kabinet hari ini telah meluluskan pembentukan akta berkaitan penubuhan Majlis Media Malaysia.

Dia berkata langkah seterusnya adalah kepada proses pembentukan undang-undang berkaitan oleh Jabatan Peguam Negara, dan rang undang-undang itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun.

“Ia mengambil sedikit masa… kerana beberapa perbincangan dan sesi libat urus melibatkan jawatankuasa pro tem (baru) selesai.

“Jadi, insya-Allah, pembentukan (Majlis Media) boleh dilakukan selepas rang undang-undang itu diluluskan di Parlimen,” katanya.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular