Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden mentafsirkan teguran Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar ahli parlimen tidak bermain politik dengan menyasarkan kerajaan.
Kata Afnan yang juga ahli parlimen Alor Setar, antara lain kerajaan bermain politik apabila tidak memberikan peruntukan yang sama rata kepada wakil rakyat pembangkang.
"Hentikan 'bermain politik' dengan ahli parlimen pembangkang, menyekat peruntukan," katanya pada satu kenyataan hari ini.
Kerajaan berhujah pembangkang harus memulakan rundingan jika mahukan peruntukan yang sama rata.
Yang di-Pertuan Agong bertitah di parlimen hari ini bahawa baginda tidak akan melayan sebarang cubaan rampasan kuasa dan menyeru mereka yang ingin "bermain politik" untuk menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang.
Ini dilihat menyasarkan pembangkang PN, yang berkali-kali berkata sedang berusaha untuk mengambil alih Putrajaya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man pula mendakwa rancangan protes NGO pembaharuan pilihan raya Bersih menghantar isyarat mungkin ia menjadi permulaan kepada kejatuhan kerajaan perpaduan.
“Bila nak berlaku perubahan ini? Insya-Allah saya jangka mudah-mudahan tidak akan habis penggal ini.
"Kalau tengok realiti 22 bulan PH dahulu memerintah pun, tiada ribut dan tiada taufan tiba-tiba kerajaan bertukar.
“Tetapi kali ini dengan tekanan rakyat dan Bersih pun keluar kenyataan akan mengadakan demonstrasi ke parlimen," kata ahli parlimen Kubang Kerian seperti dipetik Harakahdaily hari ini.
Sementara itu, Afnan pada kenyataannya hari ini turut mendakwa terdapat arahan tidak bertulis supaya kakitangan agensi persekutuan di negeri PN tidak terlibat dalam mesyuarat dengan kerajaan negeri atau menghadiri majlis rasmi.
Dia berkata kerajaan juga harus berhenti bermain politik dalam perkara seperti lawatan pemimpin politik ke sekolah dan isu kritikal seperti bekalan beras.
Afnan berkata jika kerajaan boleh menyelesaikan isu kritikal, menunaikan janji, melayan ahli parlimen pembangkang secara adil, memudahkan negeri pembangkang memohon projek pembangunan, maka tidak ada sebab kerajaan tidak dapat bertahan sehingga pilihan raya umum ke-16.
"Perlu diingat, orang yang mengajar tentang permainan politik yang menggugat kestabilan politik negara dahulu, adalah orang yang sama memimpin negara hari ini.
"Langkah Kajang, projek 16 September, desak Muhyiddin Yassin letak jawatan, dan desak Ismail Sabri (Yaakob) bubar parlimen, semua orang tahu siapa punya angkara.
"Dia buat kat orang tak apa. Orang buat kat dia tak boleh," katanya menegaskan pada PRU akan datang, pengundi perlu menolak "orang yang bermain politik kotor seperti ini."
Projek 16 September itu dipercayai merujuk kepada percubaan gagal oleh Anwar Ibrahim untuk mendapatkan ahli parlimen BN menyokongnya menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum 2008.
Langkah Kajang pula gerakan PKR pada 2014 yang bertujuan untuk membuka jalan kepada Anwar menjadi Adun Selangor melalui pilihan raya kecil, dikatakan dia akan menggantikan Khalid Ibrahim sebagai menteri besar.
Sementara itu, salah seorang timbalan perdana menteri Anwar, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, telah memainkan perananan penting dalam menggulingkan Muhyiddin daripada jawatan pada 2021 dan kemudiannya antara yang menekan Ismail Sabri untuk mengadakan pilihan raya pada 2022.