Pemuda Amanah: Beri ruang Tiong bentang pelan tarik pelancong

Shopee Sale

Pemuda Amanah meminta semua pihak memberi masa dan ruang kepada Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Tiong King Sing menjalankan agenda menaikkan sektor pelancongan negara.

Naib ketuanya, Ammar Atan berkata ini termasuklah isu penurunan pangkat bekas ketua pengarah Tourism Malaysia Ammar Abd Ghapar yang didakwa gagal mencapai tahap prestasi yang diharapkan.

Katanya, Tiong dan kementeriannya menggalas tugas besar untuk menjadikan Malaysia destinasi pelancongan utama.

"Tiong perlu diberi ruang secukupnya untuk menjalankan tanggungjawab.

"Ini termasuklah melantik individu yang mahir dan 'reform-minded' atau berfikiran progresif untuk memperbaharui industri pelancongan tempatan yang terus dihimpit persaingan daripada negara jiran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ammar memberikan contoh destinasi serantau seperti Phuket (Thailand), Bali (Indonesia), Ha Long Bay (Vietnam) dan Boracay (Filipina) yang menjadi pesaing utama Malaysia bagi menarik kemasukan pelancong asing.

Tambahnya, jika tiada pembaharuan yang ketara dibuat dalam industri pelancongan, ramai pemain industri pelancongan tempatan akan 'gulung tikar'.

"Ramai rakyat kita lebih gemar melancong ke luar negara. Sekiranya trend ini berterusan, saya khuatir ramai pemain pelancongan tempatan akan gulung tikar.

"Jadi, tak ada gunanya menyalahkan sesiapa jika tiada pembaharuan signifikan dilakukan dalam industri pelancongan," katanya.

Mengulas lanjut, Ammar berkata dia banyak aduan daripada pelancong serta pemain industri mengenai harga bilik hotel dan makanan yang terlalu mahal serta destinasi pantai popular negara juga kurang aktiviti unik yang dirancang oleh agensi pelancongan.

"Ketiadaan 'penerbangan langsung' daripada negara-negara utama perlu diselesaikan dan proses imigresen di pintu utama negara juga harus dipermudahkan.

"Selain promosi pelancongan ke Malaysia secara besar-besaran di luar negara perlu diperhebatkan terutamanya di India, China dan negara barat," katanya lagi.

Tegas Ammar, kegagalan menarik pelancong asing mampu memberi tekanan kepada nilai ringgit kerana industri pelancongan menyumbang lebih 14 peratus pada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Justeru, Pemuda Amanah mencadangkan agar Kertas Putih mengenai isu-isu jangka pendek dan panjang yang menjadi cabaran kepada sektor pelancongan dapat dibentangkan oleh Tiong di Parlimen.

MENARIK:  Kes serangan Balai Polis Ulu Tiram terus jadi tumpuan

"Semoga pembentangan Kertas Putih ini dapat mengenal pasti solusi-solusi terbaik untuk pemain industri pelancongan negara," tambahnya.

Pada masa sama, Pemuda Amanah meminta Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)untuk tidak memanjangkan isu penukaran jawatan bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia.

Ammar Abd Ghapar

Pada 24 Feb lalu, Cuepacs dalam kenyataanya menuntut penjelasan Tiong berkenaan isu notis penamatan yang dikeluarkan pada 22 Februari dan berkuat kuasa pada 26 Februari itu dilihat terlalu singkat.

Presidennya Adnan Mat berkata isu ini boleh menimbulkan pelbagai persoalan di kalangan pihak berkepentingan terutama penggiat industri tempatan.

Kesatuan Pekerja-pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (KPPLPPM) pula menyatakan rasa terkejut dengan penamatan perkhidmatan Ammar dan mendakwa ia merupakan perkara yang serius.

Presidennya Alwi Shakir Abdullah menyarankan agar Tribunal Penjawat Awam - yang pernah wujud suatu ketika dulu - dihidupkan semula.

Pada 23 Feb lalu, Ammar Abd Ghapar mengesahkan perkhidmatannya ditamatkan berkuat kuasa bermula 26 Feb 2024.

Menjelaskan hal itu, Tiong berkata Ammar sudah diberikan banyak peluang tetapi gagal mencapai tahap prestasi yang diharapkan.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular