PARLIMEN | Kerajaan dituntut memberi penjelasan berhubung kos pajakan 28 unit helikopter menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun untuk pasukan keselamatan negara.
Ketua pembangkang, Hamzah Zainudin, berkata jumlah kos itu dilihat sangat besar jika dibandingkan dengan kos pembelian 32 buah helikopter yang dibuat Poland.
“Semalam Yang di-Pertuan Agong bagitahu jangan ada perkara peribadi yang dibawa (ke Dewan Rakyat) dan (ahli parlimen) mesti mempertahankan hak rakyat.
“Jadi, kenapa kerajaan membuat polisi menyewa helikopter yang begitu tinggi harganya? Sekali lagi, someone is making money (ada seseorang sedang mengambil untung).
“Kos sewaan RM16.6 bilion untuk 28 buah helikopter AW139 ini sebenarnya jauh lebih tinggi berbanding jika dibeli terus daripada syarikat pengeluar yang dianggarkan berjumlah RM3.954 bilion.
"Poland beli helikopter yang sama - AW139 - sebanyak 32 buah, siap dengan pakej pasang dalam negara mereka sendiri, baru berjumlah AS$2 bilion (kira-kira RM8.9 bilion), tapi mengapa kos sewaan kita sampai RM16.6 bilion?" katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah diraja di Dewan Rakyat, hari ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Larut itu berkata, Filipina pula membeli 32 helikopter S70 Black Hawk hanya pada harga AS$600 juta.
Justeru, kata Hamzah, dia bimbang wujud skandal baru berkaitan pajakan helikopter untuk pasukan keselamatan negara.
“Semasa pentadbiran PN, KDN (Kementerian Dalam Negeri) menolak idea sewaan helikopter ini kerana selepas kajian terperinci dibuat mendapati pembelian terus lebih murah berbanding sewaan.
“Kita tidak mahu pisang berbuah dua kali seperti skandal kapal LCS (kapal tempur pesisir).
"Sepatutnya, faktor commonality (persamaan), harga dan kualiti tempur menjadi pertimbangan utama kerajaan dalam melaksanakan perolehan sesuatu aset ketenteraan,” katanya.
Patut minta PAC siasat
Hamzah menegaskan, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah mengoperasikan 12 helikopter EC725 yang terbukti lasak, canggih, memiliki spesifikasi tempur dan lebih besar berbanding AW139.
Dia yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata, sepatutnya helikopter itulah yang wajar menjadi pertimbangan kerajaan kerana penggunaan helikopter yang sama jenisnya akan menjimatkan kos penyelenggaraan.
Malah, katanya, helikopter EC725 sudah ada simulator penerbangan lengkap dalam negara.

“Buktinya, pada Ogos 2024, syarikat Boustead menerima kontrak bernilai RM378 juta untuk menyelenggara 12 buah EC725 milik TUDM untuk lilma tahun.
"Maknanya kos penyelenggaraan sebuah EC725 RM6.3 juta setahun.
“Ironinya, YAB Tambun (Perdana Menteri, Anwar Ibrahim) selalu menyerang golongan maha kaya, tetapi rakyat juga tahu Ahli Parlimen Tambun naik helikopter Weststar semasa kempen PRU ke-15,” katanya.
Tambah Hamzah, sekiranya pentadbiran hari ini telus, kerajaan sendiri perlu meminta Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyiasat isu sewaan helikopter berkenaan.
“Kerana jika tidak, rakyat akan kata, you scratch my back, I scratch yours (Kamu tolong saya, saya tolong kamu),” katanya
Terdahulu, media melaporkan sebanyak 28 buah helikopter akan disewa kerajaan menerusi kontrak bernilai RM16 bilion bagi tempoh 15 tahun.
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin menerusi ucapan penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 minggu lalu berkata, pajakan helikopter-helikopter itu dibuat untuk beberapa agensi termasuk Angkatan Tentera Malaysia.
Dengan termeterainya kontrak tersebut, katanya, sebanyak 12 buah akan digunakan Tentera Udara Diraja Malaysia, tujuh untuk Polis Diraja Malaysia, empat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, dan masing-masing dua untuk Tentera Laut Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan satu untuk Jabatan Perdana Menteri.