Peguam Dzulkefly tarik diri, kes saman fitnah terhadap Najib tangguh

Shopee Sale

Seorang peguam yang mewakili Dzulkefly Ahmad telah menarik diri daripada bertindak bagi menteri kesihatan itu dalam saman fitnah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.

Berikutan itu, perbicaraan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dijadualkan hari ini mengenai saman sivil itu telah ditangguhkan ke tahun depan.

Ketika dihubungi, peguam Sankara Nair (gambar bawah) mengesahkan dia telah menarik diri daripada mewakili plaintif Dzulkefly, yang menyebabkan mahkamah sivil mengosongkan tarikh perbicaraan yang pada mulanya ditetapkan pada hari ini dan sepanjang minggu ini.

Bagaimanapun, peguam itu enggan mengulas mengenai sebab penarikan diri daripada mewakili ahli parlimen Kuala Selangor itu.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee pula mewakili defendan Najib.

Pada 31 Dis tahun lepas, Dzulkefly yang juga ahli parlimen Kuala Selangor Dzulkefly memfailkan tindakan sivil saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Pekan Najib berhubung hantaran di FBnya yang dimuat naik pada 14 Ogos 2020, yang dikatakan mengandungi dakwaan bahawa bekas menteri kesihatan itu mengamalkan nepotisme.

Dakwaan nepotisme itu berhubung pelantikan anak Dzulkefly, Nurul Iman pada 2019 sebagai ahli lembaga pengarah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Tuduhan ini juga menjadi teras tuntutan tindakan sivil berasingan oleh pengarah strategik Amanah itu terhadap Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki.

Najib dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhujah bahawa siaran FB yang diperkatakan itu tidak merujuk kepada Dzulkefly atau berkaitan dengannya sama sekali.

Dia merujuk kepada hantaran FBnya yang disertakan dengan tangkapan skrin dua artikel Sinar Harian.

Menurut kenyataan tuntutan Dzulkefly, artikel yang diterbitkan pada Januari 2019 itu bertajuk 'Junaidah nafi dilantik pengerusi AIM kerana kronisme' dan 'Kronisme AIM: Pelantikan anak menteri tiada kaitan dengan KKM'.

KKM merujuk Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala Junaidah pula ialah Pengerusi AIM Junaidah Kiting.

"Walaubagaimanapun, defendan (Najib) menafikan sekeras-kerasnya bahawa terbitan tersebut merujuk dan/ atau berkait dengan plaintif (Dzulkefly) dan tiada sebarang niat untuk memfitnah plaintif.

MENARIK:  Warga asing dibenar guna nama pasangan rakyat tempatan berniaga di Johor

"Dalam keadaan yang dipilidkan di atas, defendan selanjutnya menyatakan bahawa terbitan tersebut merujuk kepada gabungan Pakatan Harapan (PH) dan oleh itu tiada sebarang fitnah dibuat terhadap plaintif," kata pernyataan pembelaan Najib.

"Dalam keadaan tersebut, defendan memberi penegasan kepada kelakuan parti gabungan PH yang bersifat hipokrit kerana mendakwa nepotisme, kronisme dan pelantikan politik terhadap gabungan politik defendan (pada ketika itu Perikatan Nasional - PN) kerana pelantikan dalam syarikat berkaitan kerajaan (syarikat GLC) walaupun pada hakikatnya semasa PH berada dalam kerajaan, pelantikan yang sama dibuat tanpa sebarang bantahan atau dakwaan oleh PH," kata Najib lagi.

Najib juga bertegas hantarannya itu tidak mengandungi dakwaan, sama ada secara langsung atau tidak, bahawa mana-mana pelantikan berkenaan adalah salah.

Najib mendakwa bahawa hantaran di FBnya itu disertakan dengan tangkap layar artikel Sinar Harian, bagi membolehkan orang ramai menilai secara adil isu tersebut.

Ini katanya, termasuk menyediakan ruang untuk pendirian Dzulkefly mengenai perkara itu supaya orang ramai dapat membuat pertimbangan secara keseluruhan.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular