Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris mendakwa kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai rekod pelaburan tertinggi semalam tidak mencerminkan realiti sebenar keadaan ekonomi negara.
"Walaupun fakta itu betul tetapi secara realitinya tidak nampak," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Razali turut mempersoalkan peratusan sebenar nilai pelaburan yang diluluskan dan telah direalisasikan oleh kerajaan.
Katanya, rakyat berhak mengetahui syarikat mana yang mendapat pelaburan tertinggi kerana terdapat syarikat yang tidak mempunyai rekod yang baik dalam pelaburan.
"Rakyat hendak tahu berapa peratusan pelaburan yang kononnya diluluskan tertinggi dalam sejarah negara dan yang sebenarnya telah direalisasikan?
"Direalisasikan dan diluluskan adalah dua perkara yang berbeza, jangan kelirukan rakyat," tambahnya.
Semalam, Anwar mengumumkan Malaysia mencatatkan jumlah pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM329.5 bilion pada 2023 meningkat 23.0 peratus daripada 2022.
Daripada jumlah tersebut, pelaburan asing merupakan penyumbang utama iaitu sebanyak 57.2 peratus berbanding pelaburan domestik sebanyak 42.8 peratus, kata Anwar pada Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bil. 2/2024.
Nilai eksport merosot
Mengulas lanjut, Razali berkata tidak adil untuk membandingkan nilai pelaburan dengan tahun 2022 dan menyentuh mengenai nilai eksport yang merosot di hampir kesemua negeri.
"Tidak adil dibandingkan untuk tahun 2022 kerana waktu itu negara masih bergelut memulihkan ekonomi kesan tsunami Covid 19.
"Pada 26 Jan 2024 lalu, Perangkawan Malaysia menyebut eksport Malaysia menurun 10 peratus kepada RM118.5 bilion pada Dis 2023 di hampir semua negeri.
"Cuma nilai eksport meningkat di Kedah (RM850.4 juta), Terengganu (RM673.6 juta), Kuala Lumpur (RM539.8 juta) dan Pahang (RM58 juta)," katanya lagi.
Razali turut membangkitkan mengenai kenaikan harga barang runcit mempersoalkan mengapa Anwar tidak menjelaskan isu kejatuhan nilai ringgit yang menurun ke paras terendah sejak 26 tahun berbanding dolar AS.
"Sepatutnya PMX yang jelaskan, tetapi dihala kepada orang lain, mana badan penasihat khas kepada Menteri Kewangan?
"Rakyat Malaysia merasai apa yang dihadapi sekarang, harga barang naik, gaji tak naik, bonus entah ke mana, peluang pekerjaan suam-suam kuku, majikan pun ikat perut.
"Ini realiti sekarang," tambahnya lagi.
Razali memberi contoh harga barang keperluan seperti sabun pencuci pakaian, sos cili dan tomato yang mengalami kenaikan harga.
"Barangan pencuci pakaian naik antara RM2 hingga RM5.50 sebotol. Contoh lain, sos cili dan tomato naik antara RM1 hingga RM1.80 sebotol.
"Belum kira harga sayur, bawang, ikan dan ayam. Malahan isu beras pun tak nampak penyelesaian.
"Agaknya bila kali terakhir Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan barisan Menteri Kabinet pergi ke pasar?" katanya lagi.