Menteri minta Tiktok, Facebook jaga algoritma untuk kanak-kanak

Shopee Sale

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menegaskan dia telah meminta syarikat yang mengawal selia pelantar media sosial seperti Tiktok, Facebook dan Youtube agar mengawal algoritma masing-masing agar lebih peka terhadap kanak-kanak yang menggunakan pelantar tersebut.

"Dalam pertemuan dengan banyak (syarikat) media sosial baru-baru ini dengan TikTok, Meta (Facebook) dan Google (Youtube), saya tegaskan kita kena jaga algoritma terutama untuk kanak-kanak.

"Kalau boleh kanak-kanak bawah umur 13 tahun langsung tiada media sosial, pergilah bermain bola atau berseronok bersama rakan-rakan," katanya dalam podcast ‘Ini Kopi Kita: Sembang Anak Malaysia’ anjuran Jabatan Penerangan Malaysia.

Ini kerana, kata ahli parlimen Lembah Pantai itu, kesan kepada kanak-kanak yang membesar dengan penggunaan media sosial masih belum diketahui.

Pada pandangannya, dia lebih gemar agar kumpulan kanak-kanak dalam lingkungan umur tersebut lebih aktif dalam aktiviti fizikal seperti bersukan dan bermain bersama rakan-rakan sebaya.

Pada episod pertama podcast itu yang turut menampilkan pelakon, penyanyi dan usahawan, Nur Fazura membincangkan topik tentang 'rasa takut ketinggalan' ataupun terma popularnya, FOMO (fear of missing out).

Mengulas lanjut, Fahmi berkata orang ramai perlu menyeimbangkan keinginan untuk mengetahui perkara terbaru dan tidak perlu obses untuk sentiasa menjadi yang pertama mengetahui dan menyebarkan trend semasa dalam media sosial.

"Sebenarnya, kita tak tahu kesan media sosial kepada generasi yang lebih muda seperti kanak-kanak.

"Pemilik media sosial hanya bertujuan menjana keuntungan bagi pihak mereka melalui kandungan yang dikongsi oleh kita seperti maklumat dan gambar peribadi.

"Jadi, saya rasa kita perlu hadkan, ia bukan soal FOMO atau JOMO (joy of missing out), tapi bagi saya, untuk kanak-kanak 'is NOMO (no more)'," kata Fahmi lagi.

Penyebaran berita palsu

Sementara itu, Fazura berkata sebagai usahawan, memang menjadi kelaziman untuk mengikuti trend semasa bagi mempromosikan produk syarikatnya.

"Tapi dari segi peribadi, saya tidak 'jump on the trend' (terus mengikut trend semasa).

"Mungkin kerana kita rasa takut ketinggalan, kita kongsi banyak perkara peribadi di media sosial.

"Ada ibu bapa yang tunjuk anaknya bersekolah di mana, sekali dengan lencana sekolah, jadi, kita kena berhati-hati demi keselamatan anak kita," katanya.

MENARIK:  'Guna mesin layan diri untuk elak pekerja Islam sentuh arak'

Sebagai selebriti terkenal, dia juga terdedah kepada berita palsu dan kandungan berisi fitnah mengenai dirinya serta penggunaan nama dan gambar yang menjual produk bukan dari keluaran syarikatnya.

"Kita kena ada pemikiran 'kalis peluru' (bulletproof mind), apa saja tohmahan atau berita palsu tentang diri kita, jangan masukkan dalam pemikiran.

"Di media sosial, kita boleh tapis kandungan yang tidak benar dan dalam hidup sebenar juga kita kena buat perkara yang sama.

"Bagaimana hendak tepis? Sentiasa positif, tenang kerana kalau kita melenting akan jadi perkara yang tidak baik dan tular. Kita tahu diri kita, apa saja tohmahan kita abaikan tapi kalau keterlaluan sehingga menjatuhkan maruah, boleh ambil tindakan,” kata Fazura.

Bagi Fahmi pula, orang ramai perlu mengamalkan sikap tidak terburu-buru untuk berkongsi semua maklumat yang sampai kepada mereka.

Tambahnya, sebelum berkongsi apa-apa kandungan atau berita, seeloknya orang ramai mengesahkan kesahihan maklumat tersebut.

"Kita kena amalkan sikap - Pause - bila datang maklumat yang kita tak dapat sahkan. Jangan terburu-buru untuk kongsikannya tetapi sahkan dahulu kesahihan maklumat tersebut.

"Jadilah pengguna yang cerdik dan hentikan penyebaran berita tidak benar.

"Kita sedia internet laju tapi fitnah lagi laju," katanya lagi.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular