Menteri Jokowi yakin proses peralihan presiden berjalan aman

Shopee Sale

Proses peralihan kepemimpinan kerajaan Indonesia - daripada Joko Widodo (Jokowi) kepada tokoh baru hasil pilihan raya presiden baru-baru ini dijangka akan berjalan dengan lancar.

Malah Menteri Komunikasi dan Informasi Indonesia, Budi Arie Setiadi, menyatakan keyakinan betapa proses demokrasi dijalankan melalui pilihan raya umum dan presiden (Pilpres) 2024 sudah berlangsung dengan tertib.

Menurutnya pengumuman rasmi keputusan Pilpres 2024 akan diumumkan oleh Komisi Pemilihan Umum (KPU) pada Mac depan.

“Presiden dan naib presiden yang baru akan mengangkat sumpah pada 20 Okt bersama ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR).

"Saya yakin transisi kepimpinan akan berjalan dengan lancar dan aman. Prabowo (Subianto) dan Gibran (Rakabuming Raka) yang mendahului dalam proses kiraan daripada pemerintahan sekarang.

"Prabowo sendiri adalah menteri pertahanan. KPU akan umumkan keputusan rasmi pada 20 Mac dan Mei pula akan ditetapkan siapa yang menang Pilpres dan parti memerintah," katanya.

Budi berkata demikian semasa menerima kunjungan delegasi 15 wartawan pelbagai agensi berita dari Malaysia sempena program Jejak Serumpun anjuran Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) Malaysia di Jakarta bermula 12 hingga 21 Feb ini.

Dalam program selama 10 hari itu delegasi media Malaysia antara lain mengadakan lawatan ke beberapa agensi media Indonesia, membuat liputan Pilpres 2024 dan menyertai Hari Wartawan Nasional (HPN) Indonesia 2024, yang akan berlangsung pada 20 Februari.

Sementara itu Budi turut mengulas berhubung dakwaan wujudnya unsur penipuan dalam pengundian melibatkan proses membuang undi atau kiraan undi pada 14 Feb lalu.

MENARIK:  Portal media kecewa dipanggil polis enam kali isu berkaitan Saraswathy

Namun dia menegaskan dakwaan itu tidak tepat malah menegaskan bahawa pilihan raya berjalan dengan penuh demokrasi, jujur dan adil.

"Pemilu (pilihan raya umum) kali ini luar biasa dan terbesar di Indonesia. Saya tidak mahu tenaga dan kerja keras semua pihak tercalar kerana tuduhan kecurangan.

"Saya yakin pengundian kali ini betul-betul demokratik, jujur dan adil walaupun mungkin ada beberapa aduan.

"Semua orang boleh merakam proses pengundian. Kalian mahu curang di mana? Semua boleh lihat suasana di tempat pungutan suara (TPS). Semuanya jelas melainkan hal-hal teknikal yang mewujudkan salah faham,” jelasnya.

Tambah Budi sekiranya mana-mana pihak tidak berpuas hati mereka boleh mengemukan aduan kepada mahkamah perlembagaan (MK) untuk diperimbangkan.

“Semuanya punya aturan, kecurangan boleh dilaporkan dan dibawa kepada MK bukti-buktinya,” kata Budi.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular