Sebarang maklum balas berhubung keputusan kerajaan memberi hak kepada Jabatan Penerangan (Japen) untuk membatalkan kad perakuan media hanya boleh dibuat selepas penubuhan Majlis Media Malaysia.
“Jawatankuasa penaja Majlis Media memberi maklum balas kepada kod etika Jabatan Penerangan.
“Namun begitu, sebarang pengesahan (sokongan) hanya boleh dibuat oleh Majlis Media setelah dibentuk,” kata pengerusi penajanya Premesh Chandran.
Menulis di X, Premesh juga berkata draf Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media memberi kuasa kepada majlis untuk merangka kod etika sendiri dan menguatkuasakan sewajarnya.
Japen pula, katanya, kekal sebagai pihak berkuasa yang mengeluarkan pas media.
Terdahulu kerajaan melancarkan kod etika wartawan sebagai garis panduan untuk agensi media melaksanakan tugas.
Namun, keputusan kerajaan memberi kuasa kepada Japen untuk membatalkan kad perakuan media menarik perhatian pengamal media.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan kini dalam fasa terakhir untuk membawa RUU Majlis Media ke kabinet.