Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution menafikan desas-desus bahawa kementerian itu menentang penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC).
Katanya, Majlis Media berada di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi dan KDN tidak mempunyai halangan terhadap penubuhannya.
"Sejak semalam seharian saya ditanya betulkah KDN menentang penubuhan (Majlis Media) ini? Saya pun terkejut. Perkara ini dibincang dalam mesyuarat kabinet yang lepas.
"Saya pun lihat dan semak dengan KSU (Ketua Setiausaha Kementerian) kat mana kita tak setuju.
"Tak ada pun pendirian kita tak setuju. Ia tak betul," katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.
Menurut Saifuddin sebelum perkara itu dibincangkan, kertas cadangan dibentangkan kepada beberapa kementerian yang terlibat.
"Ulasan KDN pada prinsipnya, kami tak ada apa-apa halangan.
"(Namun), apabila Majlis Media ditubuhkan kami hanya tengok perkara-perkara bertindih dari sudut perananan penguatkuasaan. Sebab kami pun ada Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan.
"Majlis Media juga ada bahagian penguatkuasaan sendiri di mana kita nak harmonikan. Itu sahaja," katanya.
Pada 20 Feb lalu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata kerajaan kini dalam fasa terakhir untuk membawa Draf Rang Undang-undang (RUU) Majlis Media ke kabinet.
Katanya, penubuhan majlis media itu mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan proses dengan Jabatan Peguam Negara, dan perlu dipertimbang serta diputuskan oleh Jemaah Menteri.
Tak kawal portal dalam talian
Sementara itu, Saifuddin turut menafikan khabar angin bahawa KDN akan meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (1984) (PPPA) untuk mengawal portal-portal berita dalam talian.
"Saya juga ditanya apakah KDN akan meminda PPPA, katanya KDN nak buat pindaan bagi mengawal media atas talian.
"Ini juga tak betul. Kita pun tak ada cadangan buat pindaan mengawal portal atas talian.
"Cuma kami baru terfikir nak buat pindaan ke atas kompaun ke atas beberapa pelanggaran, itu sahaja.
“Tapi pindaan berkaitan nak mengawal portal atas talian tak ada dalam radar kami," katanya.
Saifuddin berkata kementerian itu juga tidak bercadang untuk memansuhkan PPPA.
Dia berkata demikian ketika ditanya apakah penubuhan majlis media akan menjadi badan kawal selia organisasi media di Malaysia.
"Apakah sekarang KDN ke arah mansuh PPPA? Tidak ada dalam radar kami buat masa ini," katanya ringkas.