LaWa tawar program kemahiran, pemerkasaan wanita – Nancy

Shopee Sale

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggalakkan peningkatan kadar penyertaan wanita dalam ekonomi serta tenaga buruh, menerusi penawaran program kemahiran di Laman Wanita (LaWa), kata Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata usaha itu dapat membantu golongan wanita menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan.

“Hal ini selaras dengan inspirasi Ekonomi Madani untuk meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus.

“LaWa kini menjadi pusat aktiviti setempat, yang menawarkan pelbagai program dan aktiviti pemerkasaan wanita melalui aspek peningkatan kemahiran asas, selain mewujudkan jaringan sosial serta pusat maklumat asas tentang pelbagai isu wanita,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan LaWa Negeri Cik Siti Wan Kembang bersempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di Kota Bharu, semalam.

Nancy berkata kesemua program dan aktiviti itu, menyokong aspirasi pemerkasaan wanita merangkumi aspek ekonomi, kesejahteraan, keselamatan serta kepimpinan diberikan perhatian khusus kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“LaWA turut melaksanakan program dan aktiviti melalui kolaborasi strategik bersama-sama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), agensi-agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).

“Secara keseluruhannya, pada masa ini Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) mempunyai 14 LaWa di tujuh negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.

MENARIK:  Suri rumah ditemukan maut dengan kesan jerutan di leher

Nancy berkata secara khusus, di Kelantan terdapat dua LaWa iaitu di Kota Bharu dan Tanah Merah, malah sepanjang tahun lalu, sebanyak 152 program dilaksanakan Pejabat Pembangunan Wanita (PPWN) Kelantan yang disertai komuniti, ibu tunggal serta suri rumah.

Beliau berkata antara program yang dianjurkan melibatkan kemahiran industri makanan ialah produk pastri, penghasilan biskut, kuih tradisional, seni jahitan pakaian serta jahitan kreatif, yang membantu peserta meraih pendapatan.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular