Mahkamah Rayuan hari ini akan mendengar permohonan Najib Razak untuk kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan menjawab dan mengesahkan kewujudan titah adendum pada Januari tahun lalu yang akan membolehkan dia menjalani tahanan rumah.
Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan dari kamar mahkamah dan demonstrasi yang digerakkan PAS di Putrajaya.
Penyokong Najib, ahli PAS mula tiba
8.01 pagi: Penyokong Najib Razak dan kumpulan yang dipercayai ahli PAS kelihatan melepak berhampiran kompleks mahkamah.
Terdahulu, sebuah van menurunkan kira-kira 10 wanita berusia 40-an dan 50-an di hadapan Istana Kehakiman. Mereka mendakwa sebagai penyokong Najib dari Pahang.
Unit dron polis dilihat sedang memantau kawasan tersebut.
PAS berdemo demi Najib tanpa Umno
8 pagi: Perhimpunan hari ini sepatutnya melibatkan Umno dan PAS.
Namun, Umno memutuskan untuk tidak meneruskan perhimpunan itu selepas kenyataan Istana Negara mengenai proses Lembaga Pengampunan pada Jumaat lalu.
Polis telah digerakkan untuk menghalang perhimpunan PAS, dengan mendirikan sekatan jalan di sekitar Putrajaya bagi mengawal laluan masuk ke sana.
Titah adendum tahanan rumah Najib
7.50 pagi: Dokumen tambahan titah adendum menjadi fokus perbicaraan mahkamah hari ini didakwa dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, sebelum ini.
Setakat ini, kerajaan enggan mengesahkan sama ada dokumen tambahan itu wujud atau tidak.
Ini walaupun anak Najib mendakwa telah dimaklumkan oleh Sultan Pahang bahawa dokumen itu benar-benar wujud.
Menjelang perbicaraan hari ini, Istana Negara telah menyatakan sebarang permohonan pengampunan, termasuk permohonan tahanan rumah Najib, perlu melalui Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong sekarang, Sultan Ibrahim.