KWSP kekal pelabur terbesar di pasaran domestik dengan aset RM702.48b

Shopee Sale

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kekal sebagai pelabur terbesar dalam pasaran domestik dengan aset di bawah pengurusan (AUM) meningkat kepada RM702.48 bilion pada Disember 2023 daripada RM643.38 bilion pada 2022.

Dana simpanan persaraan itu berkata pelaburan KWSP dalam pasaran domestik adalah melebihi 80 peratus daripada peruntukan pelaburannya bagi 2023, menyediakan modal kepada syarikat Malaysia dan ekonomi secara keseluruhannya.

“Sehingga Disember 2023, KWSP memegang lebih kurang 28 peratus daripada lebihan terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) dan lebih kurang 12 peratus daripada permodalan pasaran Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Penyertaan KWSP di Bursa Malaysia dari segi nilai yang didagangkan ialah 23 peratus untuk saham FBM100 dan 31 peratus untuk saham FBM KLCI.

“Penyertaan ini termasuk dagangan oleh pengurus dana luar domestik, yang telah menerima lebih RM4 bilion suntikan untuk portfolio ekuiti domestik sejak lima tahun lalu,” kata dana simpanan persaraan itu.

Selain itu, KWSP berkata suntikan lebih RM3 bilion kepada pengurus pendapatan tetap luaran telah menjadikan jumlah suntikan kepada pengurus dana Malaysia kepada lebih RM7 bilion.

“Suntikan ini adalah sebahagian daripada usaha pemelbagaian jangka panjang KWSP serta untuk merangsang pasaran modal domestik dan industri pengurusan aset,” katanya.

Sementara itu, sehingga Disember 2023, pendaftaran ahli baru meningkat kepada 460,447 menjadikan jumlah ahli KWSP seramai 16.07 juta.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 8.52 juta adalah ahli aktif yang kini mewakili 50 peratus daripada 17.03 juta tenaga buruh Malaysia pada akhir 2023.

MENARIK:  KDN hanya respon kritikan berfakta, bukan tohmahan - menteri

“Jumlah ahli aktif KWSP kekal konsisten pada 53 peratus berbanding 47 peratus daripada nisbah ahli aktif kepada tidak aktif pada Disember 2023,” katanya.

Mengenai penyertaan i-Saraan, KWSP berkata ia mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 31 peratus kepada 382,983 daripada 291,743 pada 2022.

“Secara keseluruhan, jumlah caruman diterima sepanjang 2023 meningkat kepada RM97.56 bilion, naik sebanyak 15 peratus daripada 2022 mencerminkan peningkatan dalam kapasiti kewangan ahli berikutan pemulihan pendapatan, pekerjaan dan ekonomi yang progresif.

“Ia juga mencerminkan tahap kepercayaan ahli yang berterusan terhadap KWSP untuk melindungi simpanan mereka,” katanya sambil menambah pendaftaran majikan baru berjumlah 82,005 pada akhir 2023, menjadikan jumlah keseluruah majikan yang berdaftar dengan KWSP sebanyak 606,187.

-Bernama

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular