'Kuasa Agong beri pengampunan mutlak, Lembaga Pengampunan hanya formaliti'

Shopee Sale

Kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengampunkan banduan adalah mutlak dan tidak terikat dengan Lembaga Pengampunan, kata peguam veteran Mohamed Haniff Khatri Abdullah.

Menurutnya, ia diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, yang memberikan Agong hak prerogatif tunggal untuk memberikan pengampunan kepada mana-mana banduan yang disabitkan kesalahan bagi kes di wilayah persekutuan.

Justeru, Haniff memberitahu forum hari ini, sebarang keputusan pengampunan oleh Agong adalah sah dan mesti dilaksanakan oleh kerajaan walaupun ia tidak melalui Lembaga Pengampunan.

“Apa yang perlu difahami ialah Agong memegang kuasa mutlak dalam hal (mengurangkan) hukuman.

“...Pada pendapat saya, meski Lembaga Pengampunan ditubuhkan di bawah Perkara 42(5) Perlembagaan Persekutuan, tidak kira sama ada ia bersidang atau tidak, sama ada ia membuat apa-apa nasihat (kepada Agong) atau tidak, dan sama ada nasihat diikuti (Agong) atau tidak, ia tidak mencacatkan mana-mana pengampunan yang diberi oleh Agong.

"Sama ada kita suka atau tidak, itu soal lain, kalau kita tak puas hati, penyelesaiannya bukan untuk kita mengadu atau sembunyikan (apa-apa pengampunan yang diberikan Agong)," katanya pada forum yang diadakan di Kuala Lumpur petang tadi.

Menampilkan barisan peguam berpengalaman sebagai ahli panelnya termasuk peguam bela bekas perdana menteri Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah, forum bertajuk 'Pengampunan Diraja: Skop dan Cabaran' banyak menumpukan kepada isu dakwaan titah adendum oleh Agong sebelum ini, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Titah adendum yang dikatakan mengandungi titah Sultan Abdullah supaya Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan rumah, tetapi kewujudannya belum disahkan oleh kerajaan dan menyebabkan Najib membawa perkara itu ke mahkamah untuk mendapatkan semakan kehakiman mengenainya.

MENARIK:  Loke: Permit masuk kenderaan asing di sempadan M'sia-S'pura mulai 1 Okt

Tambah Haniff, Lembaga Pengampunan hanyalah formaliti dan tidak menggantikan kuasa Agong.

Menurutnya juga, tidak timbul isu sama ada undang-undang semasa mempunyai peruntukan untuk tahanan rumah.

“...ia tidak ada perbezaan kerana kuasa pengampunan diraja tidak tertakluk kepada mana-mana undang-undang.

“Sama ada undang-undang sudah wujud atau belum wujud, ia tidak ada bezanya dengan kuasa Agong untuk mengampuni.

"Kalau Agong berkata 'Najib Razak akan menjalani baki hukumannya di istana beta' sekali pun, kena terima," kata Haniff.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular