Program Pembangunan Tanaman Bawang yang akan dilaksanakan secara berfasa bermula tahun ini dijangka dapat mengurangkan import bawang sebanyak 30 peratus, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.
Menurutnya, program berkenaan akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu peringkat prakomersial - bermula tahun ini hingga tahun hadapan - dan fasa komersial (2026 hingga 2030).
Fasa prakomersial, katanya, bertujuan meneroka potensi penanaman bawang kecil di Malaysia dengan 70 tan metrik benih bebawang kecil dan 230 kilogram (kg) biji benih bawang kecil akan dibekalkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).
Menurut Mohamad, kawasan penanaman bawang seluas 100 hektar akan dibangunkan dengan jangkaan hasil pengeluaran sebanyak lima tan metrik per hektar dalam fasa prakomersial itu.
“Penanaman bawang ini boleh dilaksanakan sebanyak dua kali setahun.
"Dijangkakan pengeluaran bawang bagi fasa (prakomersial) ini adalah sebanyak 1,000 tan metrik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Ahli Parlimen Kota Raja itu menjawab soalan Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) yang meminta perincian usaha-usaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk mengurangkan import bawang sebanyak 30 peratus.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, fasa komersial program itu pula akan melibatkan pembangunan kawasan seluas 1,347 hektar dan dijangka menghasilkan sebanyak 14,470 tan metrik bawang.
Dia berkata program berkenaan hanya akan melibatkan tanaman bawang kecil kerana Mardi belum menjumpai varieti bawang besar dan bawang putih yang sesuai untuk ditanam di Malaysia.