Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian A Ganapathy ketika dalam tahanan polis pada 2021 adalah disebabkan jangkitan fasciitis menekrosis pada kaki kanan yang turut mengalami komplikasi bakteria.
Bagaimanapun, koroner Rasyihah Ghazali berkata jangkitan itu disebabkan kecuaian anggota balai polis Selayang atas kegagalan untuk memastikan Ganapathy - yang turut mengidap kencing manis - mengambil ubat dan merawat lukanya dengan betul.
Katanya, jika Ganapathy diberi ubat mengikut masa ditetapkan dan mengikut arahan untuk merawat lukanya setiap hari, jangkitan itu boleh dihindari.
"(Lokap) polis sepatutnya memberi perhatuan kepada tahanan berisiko tinggi dan (berpenyakit) kronik," katanya lagi.
Katanya lagi, fasciitis menekrosis dengan komplikasi sepsis (yang berpunca daripada bakteria memudaratkan) berlaku kerana jangkitan bakteria yang teruk di kaki kanan mendiang.
Namun, mahkamah tidak membuat keputusan muktamad berhubung sama ada luka mendiang berpunca daripada polis atau faktor lain.
Keluarga akan fail saman sivil
Selepas keputusan itu, peguam keluarga, M Visvanathan berkata mereka akan memfailkan saman sivil pada April ini.
Ganapathy, seorang peniaga susu lembu berusia 40 tahun, ditahan pada 24 Februari 2021 bagi membantu siasatan terhadap kes adiknya yang didakwa sebagai seorang individu dikehendaki pihak berkuasa.
Pada 8 Mac, keluarga Ganapathy menerima panggilan telefon daripada seorang polis berpangkat sarjan, memaklumkan dia telah dibebaskan namun ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Selayang. Dia kemudian disahkan berdepan masalah buah pinggang dan kakinya dipotong.
Selepas dirawat di hospital itu kira-kira sebulan, Ganapathy meninggal dunia pada 18 April 2021.
Pada 2022, peguam negara dilaporkan memulakan inkues susulan dakwaan dia dipukul ketika dalam tahanan.
Menurut laporan polis, walaupun kesihatannya baik, Ganapathy ada rekod penyakit kencing manis dan masalah jantung.
Keluarganya mendakwa kesihatannya memburuk akibat ditahan polis, menyebabkan kakinya bengkak dan lebam seperti dipukul.
Ibunya, S Thanaletchumy membuat laporan polis pada 11 Mac 2021 berkaitan dakwaan anaknya dipukul dengan paip getah ketika dalam tahanan.
Susulan kematiannya, ketua polis daerah Gombak ketika itu, Ariffai Tarawe berkata siasatan awal mendapati tiada bukti menunjukkan dipukul ketika dalam tahanan.
Dia juga berkata mendiang tidak membuat aduan dipukul polis, sama ada kepada majistret mahupun pegawai perubatan yang merawatnya.
Peguam K Ganesh sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa bezah siasat mendapati kematian mendiang akibat kecederaan teruk.
[Baca berita asal]