Kod etika cubaan sekat kebebasan akhbar, dakwa LFL

Shopee Sale

Kod etika baharu yang dilancarkan oleh kerajaan adalah percubaan untuk mengawal media, dakwa kumpulan NGO, Lawyer for Liberty (LFL).

Pengarahnya Zaid Malek juga menyifatkan kuasa Jabatan Penerangan (Japen) untuk membatalkan akreditasi kad media sebagai ancaman terhadap akhbar.

"Bagaimana media boleh bebas dan berkecuali apabila kerajaan yang memutuskan apa itu pelaporan berita beretika?" soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil melancarkan Kod Etika Wartawan Malaysia.

Ia mengandungi lapan etika utama selain kod berkenaan turut digunakan sebagai sumber rujukan bagi pengurusan kad perakuan media.

Ini kali pertama manual etika, yang dilancarkan pada 1989 oleh Institut Akhbar Malaysia (MPI) itu disemak.

Fahmi berkata penyeliaan terhadap aspek pematuhan kod itu akan dilakukan oleh Majlis Media yang akan ditubuhkan, kemudian.

Dia turut mengesahkan bahawa Japen diberi kuasa untuk membatalkan kad akreditasi media kerana ia juga adalah agensi yang mengeluarkannya.

Mengulas lanjut, Zaid melabel kod etika itu sebagai tambahan kepada undang-undang zalim sedia ada seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Kod etika ini adalah cara pintu belakang untuk menghidupkan semula undang-undang antiberita palsu, yang dilabel sebagai etika kewartawanan, dengan kredibiliti mana-mana berita dan sumbernya akan ditentukan oleh kerajaan," katanya.

Zaid kemudian memetik Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin kebebasan bersuara dan berucap.

Dia juga mengingatkan menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) tentang bantahan mereka terhadap campur tangan kerajaan dalam kebebasan media ketika mereka menjadi pembangkang.

MENARIK:  Saifuddin salah faham isu anak terbuang - aktivis

“Kita tidak boleh abaikan ironi dan pengkhianatan terbesar PH, yang kejayaan politiknya sebahagian besarnya boleh dikaitkan dengan liputan media yang meluas dan kewartawanan gerila mengenai skandal 1MDB.

“Kini apabila berkuasa, mereka pula berusaha untuk mengukuhkan kawalan kerajaan ke atas akhbar dan menjadi penimbang tara apa yang boleh dilaporkan atau dibincangkan orang ramai secara dalam talian,” katanya.

Sehubungan itu, Zaid menggesa kerajaan menyegerakan penubuhan majlis media supaya pihak media boleh membuat peraturan mereka sendiri.

"Media bebas ialah pasaran idea. Melalui platform tradisional atau sebaliknya, ia adalah penting kepada demokrasi yang sihat dan berfungsi.

"Ia tidak boleh dicapai jika kerajaan menjadikan dirinya sebagai penyampai kebenaran dan sumber maklumat tunggal," katanya.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular