Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi hari ini menggesa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail untuk campur tangan dalam menyiasat kes kematian bekas pembantu politik itu.
Naib pengerusinya, Kenneth Cheng berkata sudah lebih setahun PH menjadi kerajaan namun tidak banyak perkembangan dalam kes itu.
"Kami yakin kerajaan boleh melakukan lebih banyak lagi. Kami yakin cabang eksekutif pasti boleh mempercepat kes ini.
"Kami menggesa menteri dalam negeri untuk menubuhkan pasukan siasatan, yang mungkin boleh bebas sepenuhnya daripada, polis untuk menyiasat kes ini," kata Cheng kepada pemberita selepas pertemuan dengan Penolong Setiausaha Publisiti DAP Hannah Yeoh di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur, pagi tadi.
Pada awalnya mereka berhasrat untuk bertemu Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
Namun Loke diwakili Yeoh dalam pertemuan hari ini.
Menurut Cheng, Yeoh yang juga menteri belia dan sukan mengambil pendekatan damai berhubung isu tersebut namun tidak mengulas lanjut.
Katanya lagi, Yeoh memaklumkan kerajaan tidak akan campur tangan sehingga mahkamah membuat keputusan, atas semangat eksekutif tidak campur tangan dalam badan kehakiman.
Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, Selangor selepas disoal siasat semalaman di tingkat 14 bangunan berkenaan yang menempatkan ibu pejabat SPRM negeri.
Ketika itu dia merupakan pegawai kepada Exco Selangor dan Adun Seri Kembangan dari DAP, Ean Yong Hian Wah.
Pada 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja memutuskan bahawa Beng Hock didorong untuk membunuh diri berikutan soal siasat yang agresif oleh pegawai SPRM.
Tiga tahun kemudian, Mahkamah Rayuan sebulat suara memutuskan bahawa kematiannya disebabkan oleh perbuatan “individu atau individu yang tidak dikenali”, termasuk pegawai SPRM yang menyoal siasatnya sebelum dia ditemui mati.
Ibu bapa mendiang telah memfailkan semakan kehakiman bagi menggesa pihak polis menyelesaikan siasatan yang lama tertangguh.
Hari ini, Cheng berkata keluarga mendiang dan aktivis yang memperjuangkan kes itu amat kecewa dengan kerajaan hari ini, termasuk DAP, kerana tidak berbuat apa-apa walaupun sudah lebih setahun berkuasa.
Dia mempersoalkan jika kerajaan hari ini benar-benar menghormati kedaulatan undang-undang dan prinsip hak asasi antarabangsa, walaupun PH sebelum ini sering membangkitkan isu tersebut semasa menjadi pembangkang.