Kes Spanco: SPRM ambil keterangan bekas menteri kewangan

Shopee Sale

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengambil keterangan seorang bekas Menteri Kewangan bagi membantu siasatan dakwaan rasuah bagi projek fleet kenderaan kerajaan Malaysia bernilai RM4.5 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata bekas Menteri Kewangan itu dipanggil bagi menjelaskan penganugerahan kontrak membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan kepada Spanco Sdn Bhd (Spanco) sebuah syarikat tunggal yang memegang konsesi membekal dan menyelenggara kenderaan kerajaan.

Azam Baki

“Kami akan panggil sesiapa sahaja termasuk bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri yang terbabit dalam kuasa meluluskan projek berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen Pegawai Integriti Bertauliah ke-10 di World Trade Centre yang dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Zuki Ali hari ini.

Azam berkata bekas Menteri Kewangan yang dipanggil oleh SPRM itu telah berkhidmat dengan pentadbiran kerajaan pada 2020 hingga 2021.

Beliau berkata siasatan membabitkan kes Spanco itu masih berjalan dan SPRM akan memanggil sesiapa sahaja bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan oleh pihaknya.

“Ramai saksi sudah dipanggil. Cuma bekas Perdana Menteri belum dipanggil. Saya serahkan kepada pegawai penyiasat bila (sekiranya ada keperluan) untuk panggil beliau (bekas Perdana Menteri),” katanya.

Terbaru, SPRM telah memanggil lebih 20 saksi, bagi membantu siasatan melibatkan kes terbabit pada 6 Feb lepas.

MENARIK:  Pekerja swasta didakwa kerana jual rumah tanpa lesen

Ketika ditanya sama ada isu Spanco ini mempunyai agenda politik, Azam berkata sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM beliau bertanggungjawab untuk melaksanakan tugasnya berdasarkan lunas undang-undang, aduan serta tohmahan yang diterima pihaknya.

“Buat masa ini, ia adalah tanggungjawab saya iaitu apa saja yang diberi (aduan) kepada kami, ia akan disiasat,” kata Azam.

Pada Jan lepas, media melaporkan SPRM akan menyiasat penglibatan individu tertentu dalam kerajaan berhubung dakwaan rasuah perolehan membekal dan mengurus fleet kenderaan kerajaan Malaysia.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular