Keputusan untuk membicarakan seorang remaja atas pertuduhan membunuh anak dan bukannya membunuh menafikan perlindungan terhadap pesalah bawah umur yang disediakan oleh Akta Kanak-Kanak 2001, kata seorang aktivis.
Penyelaras eksekutif Rangkaian Antihukuman Mati Asia (Adpan) Dobby Chew (gambar bawah) berkata kekurangan perlindungan juga menghalang remaja itu daripada mendapat sokongan yang diperlukan selepas melalui peristiwa traumatik.
Jelasnya, akta kanak-kanak hanya terpakai bagi kesalahan yang tidak membawa hukuman mati, yang perintah mandatorinya telah dimansuhkan, atau penjara seumur hidup.
“Walaupun terdapat sudut kepentingan awam dalam memastikan mereka yang melakukan pembunuhan untuk bertanggungjawab, ia tidak seharusnya diteruskan tanpa sebarang semak dan imbang oleh pendakwa raya.
“Kebijaksanaan kehakiman hanyalah sebahagian daripada prinsip untuk memastikan keadilan dilaksanakan.
“Pendakwa raya menanggung separuh lagi dengan memastikan bahagian (undang-undang) yang sesuai digunakan dalam pendakwaan,” katanya kepada Malaysiakini.
Pada Selasa, seorang remaja mengaku bersalah atas pertuduhan membunuh anaknya yang baru lahir dua tahun lalu, di Mahkamah Majistret Kemaman hari ini.
Gadis berusia 17 tahun itu terlepas daripada hukuman mati selepas kesnya ditukar daripada pertuduhan bunuh kepada pertuduhan alternatif di bawah Seksyen 309A Kanun Keseksaan.
Pesalah juvana
Dia sebelum ini dihadapkan dengan pertuduhan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Kesalahan membunuh anak di bawah Seksyen 309A membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda.
Sementara itu, pengasas International Women’s Action Watch Asia Pasifik Shanthi Dairiam (gambar bawah) memberitahu Malaysiakini bahawa sistem keadilan mesti melihat perbuatan membunuh oleh remaja itu sebagai jenayah daripada seorang pesalah juvana.
Dia berkata terdapat beberapa faktor pengurangan yang juga mesti dipertimbangkan: Konsep kanak-kanak terpakai selaku mangsa rogol berkanun, sama ada remaja itu mempunyai akses kepada perkhidmatan pengguguran yang sah atau tidak, dan tiada perkhidmatan kebajikan di Malaysia yang memberikan sokongan untuk kehamilan remaja.
“Perkara di atas adalah semua faktor pengurangan yang mendorong pendekatan belas kasihan oleh sistem keadilan terhadap ‘jenayah’ pembunuhan bayi dan bukannya pendekatan menghukum.
"Jadi daripada sistem keadilan mengambil pendekatan menghukum dalam kes ini, sistem undang-undang harus melihatnya dengan belas kasihan dan mengambil pendekatan yang melindungi gadis itu daripada mudarat selanjutnya," katanya.
Sebagai contoh, remaja itu boleh diberikan perkhidmatan kaunseling dan pemulihan serta bantuan dalam meneruskan pendidikan remaja itu, kata Shanthi.
Dia berharap agar Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menangani perkara itu.
Selain itu, kata Shanthi teman lelaki remaja berkenaan - yang berusia 22 tahun dan sedang dicari pihak berkuasa kerana dipercayai merogolnya - juga perlu dikaunseling.
"Supaya dia boleh lebih bertanggungjawab dan tidak menyebabkan kanak-kanak perempuan mengandung," katanya.
Kes itu juga menunjukkan keperluan pendidikan seks di sekolah, tambahnya.
Remaja berkenaan menjadi tumpuan pada awal 2022, berikutan cubaan awal yang gagal untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu kes pembunuhan ketika itu, dengan Mahkamah Rayuan membenarkannya dia dibebaskan dengan ikat jamin pada Mei 2022.
Pengecualian Kanun Tatacara Jenayah
Pada 15 Feb tahun yang sama, remaja itu didakwa membunuh di hadapan Mahkamah Majistret Kemaman di Terengganu.
Menurut laporan Malay Mail, Majistret Tengku Eliana Kamaruzaman menolak pengakuan remaja itu untuk dibebaskan dengan ikat jamin.
Di bawah undang-undang Malaysia, kes pembunuhan merupakan kesalahan yang tidak boleh jamin, bermakna jaminan hanya diberikan mengikut budi bicara mahkamah.
Bagaimanapun, menurut peguam remaja itu, Nurainie Haziqah, Seksyen 388 Kanun Tatacara Jenayah membenarkan pengecualian dibuat jika orang yang didakwa sama ada sakit, bawah umur atau perempuan.
Mahkamah Majistret memerintahkan remaja itu direman tujuh hari pada Februari untuk memudahkan siasatan polis.
Dilaporkan bahawa bayi yang baru lahir ditemui mati pada 8 Feb 2022, di rumah gadis itu di Felcra Sri Bandi di Chukai, Kemaman.
[Baca berita asal]