PARLIMEN | Kerajaan akan memberi perhatian dan pertimbangan terhadap cadangan untuk menambah peratusan kakitangan orang kurang upaya (OKU) di parlimen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata setakat 2023 terdapat hanya 0.3 peratus OKU yang berkhidmat dalam sektor awam.
Menurut Zaliha ia merupakan kadar tertinggi dicatatkan dalam tempoh 10 tahun namun belum mencukupi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan iaitu 1 peratus.
“Bagaimanapun mengikut peranangkaan, dasar itu telah menyaksikan peningkatan sejak beberapa tahun daripada 0.23 peratus pada 2014, kepada 0.25 peratus pada 2015, 0.28 pada 2016, 0.29 pada 2017 hingga 2022 dan 0.3 pada 2023,” katanya.
Zaliha berkata demikian sebagai menjawab soalah Lim Lip Eng (PH-Kepong) menggesa menteri melihat kemungkinan untuk mengambil lebih ramai kakitangan OKU di parlimen dalam usaha meningkatkan peratusan pekerja OKU di sektor awam.
Kata Lim dia juga menggesa menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Wilayah Persekutuan untuk menambah bilangan kakitangan OKU yang berkhidmat di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Menurut Lim dia keran berurusan di DBKL namun tidak pernah melihat mana-mana OKU bekerja di pihak berkuasa tempatan terbabit.
“Kedua, kita harus memulakan dasar ini dengan menambah kakitangan OKU di parlimen.
"Saya telah menghabiskan 10 tahun di parlimen dan tidak ada kakitangan OKU. Justeru saya menyeru kerajaan untuk mengambil lebih ramai kakitangan OKU di parlimen,” katanya semasa soalan tambahan.
Zaliha berkata sasaran untuk melibatkan sekurang-kurangnya 1 peratus OKU dalam sektor perkhidmatan awam ditetapkan kerajaan pada 1998.
Tambahnya punca utama yang dikenal pasti merencatkan peranancangan tersebut ialah kerana kurangnya permohonan yang dibuat oleh OKU untuk memasuki sektor awam.
“Data Suruhanjaya Perkhidmatan Awam menunjukkan hanya 0.3 peratus hingga 0.64 peratus permohonan pekerjaan antara 2019 dan 2023 dibuat oleh OKU,” katanya.