Keputusan rayuan terhadap perintah mahkamah kembalikan status agama Islam wanita ditangguh

Shopee Sale

Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusannya berhubung rayuan seorang wanita berusia 37 tahun terhadap perintah Mahkamah Rayuan yang mengembalikan status agamanya sebagai orang Islam.

Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Abang Iskandar Abang Hashim membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili wanita tersebut, dan Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor Salim Soib@Hamid yang mewakili Kerajaan Negeri Selangor dan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla hadir bagi pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Abang Iskandar, yang bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Mary Lim Thiam Suan dan Abu Bakar Jais, turut mengarahkan MAIS agar memfailkan hujahan bertulis tambahan berkaitan persoalan undang-undang dalam tempoh seminggu manakala peguam wanita itu boleh memfailkan hujahan balas.

Pada 12 Dis 2013, wanita itu telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa dia tidak lagi beragama Islam.

Bagaimanapun, pada 20 Julai 2017, Mahkamah Tinggi Syariah menolak samannya dan Mahkamah Rayuan Syariah juga menolak rayuannya pada 1 Ogos 2017. 

Wanita itu kemudian memfailkan saman sivil di Mahkamah Tinggi memohon pengisytiharan bahawa dia tidak lagi beragama Islam dan menamakan MAIS serta Kerajaan Negeri Selangor sebagai responden.

Pada 21 Dis 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan saman wanita itu dan mengisytiharkan beliau sebagai bukan Islam bagaimanapun, keputusan itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan pada 13 Jan 2023,  Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 yang membenarkan rayuan MAIS dan Kerajaan Negeri Selangor untuk mengembalikan status Islam wanita itu.

Wanita itu diberi kebenaran merayu kepada Mahkamah Persekutuan pada 23 Mei tahun lepas berhubung enam persoalan undang-undang.

Terdahulu, Mohamed Haniff Khatri berhujah pemohon gagal membuktikan bahawa dia tidak pernah mengamalkan ajaran Islam.

"Perayu adalah seorang Islam mengikut Seksyen 2(c) dan (e) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 berdasarkan keseluruhan fakta dan keterangan.

"Mahkamah Tinggi Syariah dan Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur adalah mahkamah yang mempunyai bidang kuasa di bawah Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan bagi mendengar serta memutuskan isu berkaitan status agama perayu," katanya sambil menambah mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa untuk menyemak keputusan kedua-dua mahkamah syariah.

MENARIK:  Kumpulan siswa bantah etika pakaian, mahu UM kekal 'liberal'

Salim pula berhujah Mahkamah Rayuan sudah membuat keputusan yang tepat apabila membenarkan rayuan responden dan Mahkamah Sivil tidak boleh mengganggu dapatan fakta Mahkamah Syariah bahawa perayu adalah seorang yang beragama Islam.

"Keputusan Mahkamah Rayuan adalah selaras dengan penghakiman Mahkamah Persekutuan dalam kes Subashini Rajasingam terhadap Saravanan Thangathoray yang bukan sahaja mengiktiraf kedudukan Mahkamah Syariah malah menghormati serta tidak mengganggu perintah yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah," katanya.

Beliau berkata Mahkamah Syariah memutuskan bahawa perayu mempunyai asas pengetahuan sebagai orang Islam dan mampu mengucapkan dua kalimah syahadah serta menjelaskan maksud syahadah apabila diminta berbuat demikian.

"Oleh itu, perayu masih memahami ajaran Islam dengan baik dan mengamalkan segala suruhan diperintahkan oleh Allah," katanya.

Malik Imtiaz pula berhujah terdapat pelbagai penegasan yang dibuat semasa prosiding di mahkamah syariah bahawa anak guamnya tidak pernah mengamalkan agama Islam.

"Tiada bukti yang menunjukkan bahawa perayu telah melafazkan dua kalimah syahadah seperti dikehendaki untuk memeluk agama Islam," katanya.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular