KEB2004: Zahid syor polisi perkasa ekonomi bumiputera, industri halal

Shopee Sale

Mewajibkan pembelian 70 peratus produk halal dan bumiputera bagi program rasmi kerajaan adalah antara cadangan yang akan dibentangkan di Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024, sebagai resolusi bagi memperkasa industri halal, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata resolusi lain ialah melaksanakan program Halal Business Transformation melalui aktiviti penilaian ketersediaan serta bimbingan perniagaan, dan cadangan pelaksanaan Program Home-Grown Halal Champion yang merangkumi aktiviti pembangunan vendor dan bimbingan perniagaan dengan kerjasama syarikat multinasional.

“..ini termasuk mengembangkan polisi 30 peratus kemasukan produk usahawan bumiputera dalam sektor peruncitan moden melibatkan pasar raya besar, pasar raya mini dan pasar raya tempatan.

“Ia termasuk membimbing dan mengembangkan 10 Halal Championships baharu untuk produk unit simpanan stok (SKU) terpilih antaranya biskut, mi segera, makanan dalam tin, santan dan bahan-bahan bakeri,” kata kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.

KEB 2024 yang bertemakan ‘Positif, Progresif, Inovatif’ anjuran Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), akan berlangsung selama tiga hari bermula esok, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Ahmad Zahid berkata resolusi-resolusi berkenaan adalah dapatan daripada sesi libat urus KEB 2024 yang dilaksanakan baru-baru ini, bagi tujuan memperkasakan industri halal, untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju global dalam ekonomi halal.

Berkongsi kadar sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata ia direkodkan pada kadar 7.9 peratus, dengan jumlah eksport RM53.72 bilion iaitu 3.8 peratus berbanding jumlah keseluruhan ekspot negara yang bernilai RM1.43 trilion.

Sebagai antara industri yang berpotensi dan bernilai tinggi yang menyumbang kepada pertumbuhan sosio-ekonomi negara, beliau berkata kerajaan secara proaktif akan memastikan usaha memperkasa industri halal diteruskan.

Majlis prapeluncuran KEB2024 oleh PM ANwar Ibrahim pada 14 Feb lalu.

Memberi contoh penubuhan Majlis Pembangunan Industri Halal (MPIH), Ahmad Zahid yang dilantik sebagai Pengerusi MPIH berkata majlis itu bertanggungjawab dalam memacu pembangunan industri halal ke arah lebih inklusif serta berdaya saing di peringkat domestik dan persada antarabangsa.

MENARIK:  Mangsa pokok tumbang sempat diajar mengucap - Saksi

Katanya MPIH menghubungkan bidang kuasa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri melalui keanggotaan yang terdiri daripada 14 menteri; 13 menteri besar dan ketua menteri; ketua setiausaha negara; peguam negara dan ketua setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri.

KEB 2024 memberi tumpuan kepada 10 kumpulan meliputi 10 sektor iaitu Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Institusi Pendidikan Teknikal, Pendidikan dan Latihan Vokasional (Pilihan Kerjaya Utama) dan Pemantapan Industri Halal; Pembangunan Luar Bandar dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli.

Tumpuan lain termasuk Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan Bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah Persekutuan; Sosioekonomi Bumiputera Sabah dan Sosioekonomi Bumiputera Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri majlis penutup KEB 2024 pada 2 Mac ini, manakala perasmian majlis akan disempurnakan oleh Ahmad Zahid.

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular