KEB 2024 batu loncatan angkat martabat ekonomi bumiputera

Shopee Sale

Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 (KEB 2024) selama tiga hari bermula esok akan menjadi 'batu loncatan' kepada bumiputera untuk berkembang maju, dan tidak ketinggalan dalam kepesatan ekonomi dunia serta teknologi semasa.

Hasil percambahan minda dalam KEB 2024 itu nanti diharap membawa satu resolusi agar martabat ekonomi Bumiputera diangkat seiring dengan semangat Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat sekali gus menstruktur semula ekonomi ke aras Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia dan meningkatkan kualiti hidup seluruh rakyat Malaysia.

Penganjuran KEB 2024 oleh Kementerian Ekonomi dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dilihat tepat pada waktunya ketika perubahan landskap ekonomi dan arus teknologi yang pantas, agar golongan bumiputera terus diperkasa menerusi hala tuju dan dasar jelas serta pendekatan baharu.

Menyedari fakta bahawa golongan bumiputera masih berjuang merapatkan jurang kemiskinan, pendapatan, pekerjaan dan pengangguran, maka anjakan amat diperlukan.

Justeru, KEB 2024 merupakan wadah terbaik yang menghimpunkan 3,000 peserta termasuk wakil dari dewan perniagaan Melayu, Kadazan, Dusun, Iban dan Dayak serta wakil masyarakat Orang Asli dalam merombak pembangunan sosioekonomi bumiputera secara menyeluruh dengan harapan satu agenda baharu memperkasa bumiputera dapat direncanakan untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Meskipun KEB 2024 tertumpu kepada bumiputera, kerajaan mengharapkan penganjuran yang bersifat lebih inklusif dengan kerjasama dan sokongan masyarakat Cina dan India bagi membantu menangani masalah kemiskinan. Ini merupakan pendekatan baharu yang dilakukan Kerajaan Madani agar isu ekonomi ditangani secara bersama merentas etnik dan kaum.

Di Malaysia, populasi bumiputera adalah 21.33 juta orang kebanyakannya di Terengganu, Kelantan, Perlis, Sabah, Pahang, Kedah dan Sarawak.

Dalam aspek jurang kemiskinan, ramai bumiputera pada masa ini berada di negeri-negeri yang mempunyai pertumbuhan rendah, berpendapatan isi rumah kasar yang rendah dan kemiskinan yang tinggi. 

Contohnya di Kelantan, kadar peratusan bumiputera di negeri itu adalah 96.6 peratus manakala pertumbuhan purata Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) adalah pada 3.7 peratus antara tahun 2016-2022 dan penengah pendapatan kasar isi rumah ialah RM3,614 iaitu paling rendah antara negeri-negeri yang lain.

Dari aspek peratusan bumiputera B40 dan ke bawah serta miskin mutlak pula adalah tinggi iaitu 85.2 peratus berbanding etnik utama yang lain, Cina (3.9 peratus) dan India (9.4 peratus).

Dari aspek jurang pendapatan pula, pendapatan isi rumah kasar penengah bumiputera kekal lebih rendah sejak tahun 1970 berbanding Cina dan India dan jurang pendapatan juga semakin melebar. 

Contohnya pada 2022, pendapatan isi rumah kasar penengah bumiputera adalah RM5,793 manakala Cina (RM8,167) dan India (RM6,627) manakala nisbah perbandingan gaji purata antara Cina dan bumiputera adalah 1:0.71 manakala Cina dan India (1:0.84).

Dalam aspek pekerjaan pula, tenaga kerja bumiputera juga umumnya cenderung bekerja di sektor berpendapatan rendah seperti pertanian, perikanan, perhutanan, pertukangan dan pekerja asas.

MENARIK:  Pemandu e-hailing 'dipukul': Saifuddin kata tak akan campur tangan

Sebahagian besar tenaga kerja bumiputera adalah separuh mahir dan berkemahiran rendah iaitu pada 62.3 peratus dan 8.7 peratus manakala hanya 29.1 peratus dari tenaga kerja bumiputera merupakan pekerja mahir. 

Selain itu, graduan bumiputera yang masih menganggur berdasarkan definisi Kajian Jejak 2022 (eng: Tracer Study 2022) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) adalah yang tertinggi iaitu 70.9 peratus dari jumlah graduan yang masih menganggur iaitu 187,000 orang.

Antara isu yang menjadi tumpuan dalam KEB 2024 adalah langkah pemerkasaan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan fokus antaranya meningkatkan tenaga kerja profesional dan kompeten bumiputera berasaskan TVET, meningkatkan penglibatan bumiputera dalam kerjaya berkemahiran dan berpendapatan tinggi dan merancakkan pembangunan teknousahawan bumiputera.

Dalam usaha memajukan ekonomi bumiputera, penekanan turut diberikan pada teknologi baharu seperti digitalisasi dalam sektor pertanian, penggunaan teknologi tenaga boleh baharu dan mekanisme pengurangan karbon.

Melalui penerapan teknologi itu, ekonomi bumiputera dapat diperkasa dengan memanfaatkan sumber tanah secara berkesan, memperluas akses ke pasaran global dan membangunkan rantaian nilai yang efisien.

Dalam merapatkan jurang dan mengurangkan ketidaksamaan sosioekonomi bumiputera di Sabah dan Sarawak, pembangunan harus giat dilaksanakan dan ini selaras dengan aspirasi 'Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat' dalam meningkatkan kemampanan masyarakat dan mewujudkan pembangunan bandar dan luar bandar yang lebih seimbang.

KEB 2024 memberi tumpuan kepada 10 kumpulan meliputi 10 sektor iaitu Reformasi Pendidikan dan Modal Insan; Institusi Pendidikan Teknikal, Pendidikan dan Latihan Vokasional (Pilihan Kerjaya Utama) dan Pemantapan Industri Halal; Pembangunan Luar Bandar dan Pemerkasaan Masyarakat Orang Asli.

Tumpuan lain termasuk Penciptaan Kekayaan dan Penguasaan Korporat; Daya Saing Perusahaan bumiputera; Penguasaan Teknologi Baharu; Felda dan Tanah Wilayah Persekutuan; Sosioekonomi bumiputera Sabah dan Sosioekonomi bumiputera Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menghadiri majlis penutup KEB 2024 pada 2 Mac ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) manakala perasmian majlis disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. 

Qistina Eryna
Qistina Erynahttps://khabarkini.com
Gantungkan azam dan semangatmu setinggi bintang di langit dan rendahkan hatimu serendah mutiara di lautan.

Artikel Berkaitan

IKLAN PORTALShopee SaleShopee Sale

Facebook

Facebook KhabarKini

Paling Popular