Indonesia kini mewujudkan peraturan presiden (perpres) berkait hak penerbit industri media di negara republik itu.
Perkara itu diumumkan presidennya Joko Widodo (Jokowi) ketika berucap sempena acara kemuncak Hari Pers Nasional (HPN) 2024 di Anchol, Jakarta, hari ini.
Menurutnya peraturan yang akan melibatkan pemain media massa dan platform digital itu bagaimanapun tidak melibatkan content creator (pencipta kandungan).
Jelas Jokowi, perkara itu sudah diusahakan sejak tiga tahun lalu dan melalui proses panjang sebelum akhirnya ditandatangani semalam.
Dia turut menegaskan perpres bukan untuk mengawal kebebasan pengamal media sebaliknya untuk meningkatkan kualiti bidang kewartawanan di Indonesia.
“Perbahasan mengenai peraturan publisher right (hak penerbit) memakan waktu sangat panjang dan meletihkan kerana muncul perbezaan aspirasi (pendapat) antara media konvensional dan platform digital.
“Perpres ini juga bukan untuk mengatur kandungan media. Kerajaan mengatur kerjasama perniagaan antara pemain sektor media dan platform digital untuk meningkatkan kewartawanan yang berkualiti,” jelasnya.
HPN 2024 itu turut dihadir delegasi ketua-ketua pengarang dan wartawan pelbagai agensi dari Malaysia sempena program Jejak Serumpun anjuran Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami).
Sebaik program selesai Jokowi berkesempatan beramah mesra dengan delegasi media Malaysia sebelum meninggalkan acara berkenaan.
Sementara itu Ketua Pengarang Antara News Agency Irfan Junaidi berkata perpres yang diwujudkan itu antara lain memberikan ruang lebih adil kepada penggiat media tempatan.
“Kami berharap ini akan menjadi tonggak awal supaya aturan utama antara platform global dan industri media nasional (tempatan) lebih adil.
“Kemudian dalam jangka masa panjang ia akan mewujudkan suasana sihat untuk pemain media nasional.
“Kami berasa senang (menyambut baik) kewujudan perpres, tinggal saja bagaimana untuk kita melaksanakannya,” katanya ketika ditemui Malaysiakini.